MAHKAMAH Majistret Kajang membenarkan sambungan reman selama lima hari bermula Isnin depan terhadap tiga beranak disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pelajar Tingkatan Tiga, Yap Xin Yuan yang ditemukan reput sekitar Banting, Selangor.
Menurut laporan Buletin TV3, ketiga-tiga suspek terdiri daripada teman lelaki mangsa berusia 17 tahun, abangnya berusia 21 tahun dan bapa mereka berusia 52 tahun yang ditahan dan direman selama enam hari bermula 30 Disember lalu.
Majistret, Fatin Dayana Jalil meluluskan permohonan lanjutan reman sehingga Jumaat ini bagi memberi ruang kepada pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA LAGI: Spekulasi kematian Yap Xin Yuan kerana terlebih dos dadah: Polis tunggu laporan toksilogi
BACA LAGI: Bapa Yap Xin Yuan sayu, tak dapat kenal wajah anak sebelum disemadikan
Mayat Xin Yuan ditemukan dalam keadaan reput yang menyukarkan proses forensik.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Jumaat lalu berkata, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis ketika ini dalam menyiasat kes pembunuhan Xin Yuan.
Mayat Xin Yuan yang berusia 15 tahun ditemukan reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor pada 28 Disember lalu iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat di Kajang.
Menurut Hussein, keadaan mayat yang reput menyukarkan pakar patologi untuk mengenal pasti kecederaan fizikal lain, namun polis percaya teman lelaki mangsa terbabit dalam pembuangan mayat dan sedang menyiasat kemungkinan pembabitan individu lain.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember terbongkar selepas mayatnya ditemukan di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang pada 30 Disember.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, iaitu sehari selepas kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram