[VIDEO] Jaga parah, 5 cedera, lelaki 'sakit' tiba-tiba buka jurus Muay Thai ketika berarak di Thailand


  • Benua
  • Khamis, 02 Jan 2025

Tangkap layar seorang lelaki secara tiba-tiba bertindak ganas ketika acara perarakan agama di Kampung Rai dekat Phannanikhom, Thailand baru-baru ini.

SEORANG parah manakala lima lagi mengalami kecederaan selepas seorang lelaki secara tiba-tiba bertindak ganas ketika acara perarakan keagamaan di Kampung Rai dekat Phannanikhom, Thailand baru-baru ini.

Insiden itu berlaku semasa sambutan perayaan yang dianjurkan oleh komuniti setempat di kawasan berkenaan.

Memetik laporan media antarabangsa, suspek yang dikenali sebagai Tum, 38 tahun secara tiba-tiba bertindak ganas dan menyerang beberapa pengunjung ketika kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

Difahamkan, kejadian itu bermula apabila Tum, dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang, menyerang orang ramai yang sedang menari di hadapan pentas.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila suspek merampas senjata daripada seorang pegawai sukarelawan keselamatan (APO) yang cuba menghalangnya.

Dia kemudiannya menumbuk beberapa pegawai sukarelawan dan orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum beberapa penduduk kampung cuba menangkapnya.

Namun, Tum berjaya melarikan diri selepas kejadian apabila melihat orang ramai mula mengejarnya.

Susulan kejadian itu, pihak polis dari Balai Polis Phannanikhom melancarkan operasi segera dan menahan suspek di rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian pada hari sama.

Tum, yang mengalami kecederaan ringan di muka dan badan, menyerah diri tanpa sebarang tentangan.

Ketika ditanya wartawan tentang sebab tindakannya, dia enggan memberikan jawapan. Dalam pada itu, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Menerusi perkembangan sama, seorang saksi, Pranee Srihabong berkata, Tum mula menyerang pegawai wanita APO dengan menendang belakangnya.

"Ketika seorang pegawai keselamatan cuba membantu, dia turut ditumbuk hingga pengsan.

"Tum sering menimbulkan masalah setiap kali menghadiri acara komuniti dan Tum juga merupakan pesakit mental yang memiliki kad rawatan psikiatri," katanya.

Seorang pengawal keselamatan yang cedera parah, Somchai Fongaon, 44, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Utama Sakon Nakhon akibat kecederaan serius di kepala.

Dua lagi mangsa dirawat di Hospital Phannanikhom, manakala tiga mangsa lain mengalami kecederaan ringan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, pihak polis masih menjalankan siasatan dan akan mengenakan tuduhan awal atas kesalahan mencederakan orang lain. Jika keadaan mangsa yang cedera parah menunjukkan perkembangan lebih serius, tuduhan tambahan akan dikenakan terhadap suspek. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram