[VIDEO] Padah berlagak buat aksi akrobatik atas selimut, remaja India meninggal dunia akibat patah tengkuk


  • Benua
  • Ahad, 22 Dis 2024

Tangkap layar daripada rakaman memaparkan remaja tersebut gagal mendarat dengan betul sehingga menyebabkan kecederaan serius.

SEORANG remaja lelaki di India dilaporkan maut akibat kecederaan serius di leher selepas melakukan aksi akrobatik di hadapan sekumpulan lelaki lain difahamkan rakan-rakannya dalam kejadian pada 13 Disember lalu.

Berdasarkan laporan media di negara tersebut, mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia kira-kira enam hari selepas percubaannya untuk melakukan aksi menakjubkan itu membawa padah.

Difahamkan, remaja berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan menjual selimut sekitar Maharashtra dengan produk kain itu sering digunakan setiap kali dia cuba melakukan persembahan akrobatik berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Akibat hilang kawalan, bot laju tentera laut India rempuh feri ragut 13 nyawa

BACA LAGI: Pemuda di India nyaris hilang nyawa dirempuh SUV ketika asyik 'bergayut' di kedai makan

Namun, dalam kejadian 13 Disember itu, dia tidak bernasib baik selepas percubaannya untuk melakukan jungkir balik (somersault) tidak berjaya apabila kepalanya terhantuk di lantai.

Perkara itu dirakam kamera litar tertutup memaparkan pusingannya yang pertama berjaya dan memukau, namun pada percubaan kali kedua, mangsa gagal mendarat dengan baik sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan serius.

Video berdurasi kurang dari seminit terbabit turut menyaksikan mangsa tidak sedarkan diri dengan rakan-rakannya cuba mengejutkan mangsa sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Bagaimanapun, usaha daripada pihak perubatan gagal menyembuhkan remaja tersebut yang disahkan meninggal dunia pada Rabu lepas dengan laporan bedah siasat mendapati terdapat keretakan di tulang tengkuknya.

Mangsa sudah disemadikan di kediamannya sekitar perkampungan Bhadana, Haryana, utara India dengan difahamkan, latar belakangnya tidaklah begitu senang berdasarkan keadaan kawasan perumahannya.

Kejadian sebegitu perlu menjadi teladan kepada orang ramai bahawa aksi akrobatik tanpa pengawasan serta latihan mencukupi boleh menyebabkan kecederaan serius mahupun kematian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram