PIHAK berkuasa sedang menyiasat kematian seorang akrobat, yang terjatuh ketika membuat persembahan secara langsung trapez terbang bersama suaminya di Suzhou, China, pada Sabtu.
Video insiden itu yang disiarkan di media sosial memaparkan pasangan itu ditarik tinggi ke udara dari tanah oleh jentera yang kelihatan seperti kren.
Dalam rakaman berkenaan, wanita tersebut kemudian dilihat jatuh dari ketinggian lebih 9 meter(m), selepas suaminya gagal menangkapnya dengan kaki semasa persembahan.
Video itu menunjukkan wanita berkenaan - yang telah dikenal pasti sebagai Sun dalam laporan media tempatan - jatuh ke permukaan keras.
Penonton boleh didengar menjerit dalam video tersebut ketika tubuh badan Sun jatuh di atas tanah.
Seorang rakan sekerja Sun memberitahu media tempatan bahawa dia "masih bernafas dengan lemah" ekoran insiden itu.
Sun dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya.
Wanita tersebut kemudian dilihat jatuh dari ketinggian lebih 9m, selepas suaminya gagal menangkapnya dengan kakinya semasa persembahan.
Pada Isnin, saluran berita China Global Times melaporkan pihak berkuasa telah berjanji akan menjalankan siasatan mendalam mengikut undang-undang dan peraturan.
Selepas kejadian tersebut, persembahan itu dan bersama rancangan lain yang dijadual berlangsung pada hujung minggu dibatalkan.
Pasangan itu dilaporkan merupakan penghibur berpengalaman yang telah bekerja bersama selama bertahun-tahun, tetapi sering membuat persembahan tanpa tali pinggang keselamatan "demi untuk tampil dengan lebih realistik".
Menurut kenyataan pejabat maklumat kerajaan daerah Yongqiao, bandar Suzhou, insiden berkenaan berlaku di sebuah ladang di bandar itu.
Memetik laporan media, China Daily melaporkan pada Selasa bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh pemilik ladang dan syarikat persembahan menyatakan pihak syarikat akan bertanggungjawab terhadap isu keselamatan.
Syarikat itu tidak dinamakan dalam laporan itu.
Persembahan akan datang oleh syarikat terbabit digantung serta-merta, kata laporan itu, memetik kenyataan daripada kerajaan Yongqiao.
Laporan itu menambah bahawa satu video menunjukkan seorang kakitangan syarikat berkata kepada penonton sebelum pertunjukan: "Kami (mahu) menjadikan program itu nyata, jadi ahli akrobat tidak mengambil langkah keselamatan."
Warganet di China mempersoalkan bagaimana insiden itu boleh berlaku dan meminta peraturan yang lebih baik dalam industri persembahan akrobat.
Seorang pengguna Weibo menulis: “Batalkan pertunjukan akrobatik berisiko tinggi ini! Atau tambah perlindungan.”
Seorang lagi netizen menulis: "Jaring pelindung harus dipasang di bawah akrobatik beraltitud tinggi. Penganjur bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan!" — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram