SAYU hati apabila melihat beberapa bungkusan makanan bertaburan di atas tanah dipercayai akibat dilempar dan dibuang oleh pekerja kantin sebuah sekolah di Indonesia baru-baru ini.
Menerusi video tular di media sosial sejak Khamis, kesemua bungkusan berisi mi goreng itu dipercayai dijual oleh pelajar perempuan Madrasah Tsanawiyah di Kalibuntu Losari Brebes, Jawa Tengah, Indonesia.
Pada masa sama, kedengaran juga perbualan beberapa orang awam dan tangisan pelajar terbabit kerana sedih melihat jualannya rosak dan kotor.
BACA LAGI: 'Arwah sempat jadi imam', murid Tahun 6 sekolah di Serdang maut terkena renjatan elektrik
Pemilik video itu juga sempat bertanya kepada pelajar itu tentang situasi yang berlaku.
"Makanan yang dibuat malam tadi semuanya musnah, semua makanan dimusnahkan. Oleh siapa? Makcik kantin," katanya.
Difahamkan, pelajar itu terpaksa menjual di sekolah kerana ingin membantu ibu bapanya.
"Seorang pelajar menangis kerana barang dagangannya dibuang oleh pekerja kantin.
"Dia terpaksa pergi ke sekolah sambil berniaga kerana ingin membantu ibu bapanya, tetapi selepas disedari pekerja kantin, dia dimarahi dan barang jualannya dibuang.
"Ibunya bertungkus lumus menyimpan modal dan bangun tengah malam menyiapkan barang jualan," tambahnya.
Kejadian itu juga ternyata bukan kali pertama berlaku dan pekerja kantin sama dikatakan pernah melakukan perkara sama pada setiap pelajar yang membawa makanan dari luar selain yang dibeli di kantin sekolah.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak sekolah mahu pun kantin berhubung kejadian tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram