
POLIS menembak mati dua perompak selepas mengejar suspek sejauh empat kilometer di Jalan Proton City-Tanjong Malim berhampiran Kampung Kelawar, Perak.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, salah seorang suspek bertindak melepaskan tembakan sebelum kedua-dua mereka ditembak pada kira-kira pukul 5.20 pagi Khamis.
"Salah satu kereta peronda polis kami mengesan kereta dipandu suspek di jalan berkenaan dan meminta mereka untuk memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
BACA LAGI: Polis tembak mati 3 penjenayah di Penampang, dipercayai terlibat aktiviti jenayah, kes bunuh
BACA LAGI: [VIDEO] Suspek 'wanted' tembak 2 polis di AS masih bebas, ganjaran lebih RM350,000 jadi tawaran
Zulkafli menjelaskan suspek bertindak melarikan diri ketika cuba ditahan polis.
"Namun, mereka bertindak memecut dan membuatkan pihak polis mengejar mereka. Kenderaan suspek kemudian terbabas dari jalan sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan dan mengena kereta polis," katanya.
Zulkafli berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Perak pada Khamis.
Jelasnya lagi, selepas terbabas, seorang daripada suspek cuba menyerang polis dengan sebilah parang.
"Polis melepaskan dua das tembakan ke arah suspek pertama dan satu das tembakan ke arah suspek kedua bagi mempertahankan diri. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya lagi.
Insiden berlaku berhampiran Tanjong Malim, Perak.
Zulkafli berkata lagi, kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun masing-masing mempunyai 20 dan tiga kesalahan lampau dalam rekod jenayah mereka.
“Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan yang aktif di daerah ini sejak awal 2023. Kami sedang cuba mengesan ahli kumpulan yang lain,” katanya.
Tambah Zulkafli, polis merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer, peluru 9mm, dua bilah parang, dua plat nombor kereta palsu, enam slug peluru dan dua topeng ski serta sarung tangan.
Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) serta Seksyen 8 Akta Senjata.
“Kami percaya telah menyelesaikan 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah masuk di Tanjung Malim. Kami menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada kami supaya tindakan boleh diambil,” katanya. — The Star/IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram