[VIDEO] Pemberontak Syria berhasil 'unlocked' penjara Sednaya, ratusan tahanan bebas lepas pemerintahan Bashar al-Assad berakhir


  • Benua
  • Selasa, 10 Dis 2024

Keadaan di dalam penjara Sednaya, yang menyimpan ratusan tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak. — Agensi

PENJARA Sednaya yang digelar 'rumah penyembelihan manusia' di Syria, jatuh ke tangan pemberontak pada Sabtu lalu apabila pemerintahan Bashar al-Assad berakhir.

Para pejuang telah membebaskan ratusan tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak namun, terdapat sel bawah tanah yang masih belum dapat diakses.

“Kami meraikan berita tentang pembebasan tahanan kami bersama rakyat Syria, meleraikan belenggu mereka dan mengumumkan berakhirnya era kezaliman di penjara Sednaya,” kata pemberontak sejurus mengambil alih fasiliti yang terkenal itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Gempa bumi Syria: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan

BACA LAGI: Warga emas maut ditikam guna gunting, suspek dipercayai ada masalah mental

Sebuah rakaman dari penjara tular menunjukkan pemberontak membuka pintu dan memberitahu tahanan bahawa mereka kini bebas.

Beribu-ribu orang dilihat keluar dari penjara itu, dengan orang ramai menjerit di jalanan. Ramai dalam kalangan mereka dipenjarakan selama beberapa tahun.

Walaupun ada rakaman menunjukkan suasana kegembiraan, terdapat juga tahanan yang keliru dengan apa yang sedang berlaku.

Satu video menunjukkan situasi seorang wanita bergelut untuk memahami apa yang diberitahu oleh pemberontak, tidak percaya bahawa mereka benar-benar bebas untuk pergi, dengan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dilihat keluar dari sel penjara.

“Anda kini bebas, semua orang boleh pulang ke rumah,” kata seorang lelaki kepada wanita-wanita berkenaan.

“Dia sudah tiada, Bashar al-Assad sudah jatuh, anda boleh pergi,” kata seorang lagi lelaki.

Sekumpulan lelaki yang dibebaskan berkata, mereka sepatutnya dihukum mati pada hari pemberontak mengambil alih fasiliti tersebut.

Bas-bas dilihat membawa tahanan keluar, disambut oleh orang ramai dengan tembakan sambutan.

Namun, kegembiraan itu tidak lengkap kerana pemberontak memaklumkan bahawa mereka hanya dapat membuka sel-sel di atas tanah di penjara Sednaya.

Sementara itu, menurut aktivis tempatan, Omar Saoud, terdapat penjara yang dikenali sebagai penjara merah di tiga tingkat di bawah tanah, yang masih belum dibuka.

“Mereka tidak dapat membukanya kerana ia memerlukan mekanisme tertentu dan askar serta pegawai yang pernah bertugas di sini telah pergi,” ujarnya menerusi rakaman video dari lokasi kejadian.

Omar menyeru kepada Pertahanan Awam Syria untuk menguruskan situasi tersebut dan meminta operasi penggalian atau penghapusan periuk api untuk mengeluarkan tahanan.

2

Penjara Sednaya di Syria dikenali sebagai 'rumah sembelihan manusia'. — Agensi

‘Rumah sembelihan manusia'

Penjara Sednaya di Syria dikenali sebagai 'rumah sembelihan manusia' oleh rakyat Syria dan organisasi hak asasi manusia.

Dalam laporan pada 2017, Amnesty International menyimpulkan bahawa pelanggaran pihak berkuasa Syria di Sednaya adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Pembunuhan, penyeksaan, penghilangan paksa dan pemusnahan yang dilakukan di Sednaya sejak 2011 adalah sebahagian daripada serangan terhadap penduduk awam yang meluas, serta sistematik dan dijalankan berdasarkan dasar negara,” kata kumpulan hak asasi manusia itu.

Seorang lelaki yang dibebaskan dari Sednaya tidak dapat bercakap apabila orang bertanya tentang dirinya dan dia kelihatan tidak mengingati identitinya.

Rakyat Syria, Lubnan dan Palestin masih menunggu lebih banyak berita tentang tahanan yang dibebaskan di Sednaya dan penjara-penjara Syria lain, dengan harapan dapat mendengar khabar tentang orang tersayang mereka yang masih hilang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram