SITUASI cemas dialami seorang pekerja di Terminal Pasir Panjang, Singapura selepas sebuah kontena terjatuh lalu menghempapnya dalam satu kejadian yang berlaku pada Isnin.
Dalam satu rakaman tular di media sosial, pekerja yang merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun sedang cuba mengalihkan sebuah kontena menggunakan kenderaan berupa kren.
Bagaimanapun, cubaannya itu menyebabkan enam kontena yang disusun secara menegak tidak stabil sebelum salah satu daripadanya jatuh dan menimpa pekerja malang tersebut.
Kejadian mengerikan itu menyaksikan kontena yang terjatuh itu tergolek dengan rakaman turut memaparkan lelaki berkenaan terpelanting daripada kenderaan dipandunya sebelum pengsan akibat hentakan berkenaan.
BACA LAGI: KDN muktamadkan aplikasi tunggal keluar masuk Singapura
Namun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan syarikat tersebut, iaitu PSA Singapore mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di National University Hospital.
Dalam kenyataan sama, mereka melaporkan insiden berlaku di Terminal 3 Pasir Panjang pada kira-kira pukul 6.40 pagi dengan pekerja itu segera dikejarkan ke hospital.
PSA Singapore bagaimanapun enggan memberi penjelasan lanjut mengenai kecederaan dialami mangsa, namun menegaskan mereka akan terus bekerjasama untuk membantu kakitangannya.
Malah, Pasukan Pertahanan Awam Singapura turut menyatakan pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu kira-kira 15 minit selepas kejadian.
Difahamkan, beberapa anggota sudah dikerah ke lokasi kejadian dengan foto bertebaran di media sosial memaparkan terdapat anggota bomba di kawasan pelabuhan itu. — The Star/MANJIT KAUR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram