KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah memilih satu aplikasi tunggal untuk memudahkan prosedur imigresen bagi rakyat Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor bagi kemasukan dan keluar ke Singapura, kata Menteri Dalam Negeri.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga aplikasi iaitu MyTrip, MyRENTAS dan MyBorderPass kini sedang menjalani ujian proof-of-concept (POC) di BSI dan KSAB untuk menilai keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura.
"KDN telah pun memuktamadkan satu daripada tiga vendor yang kita laksanakan POC. Kita telah kemukakan kepada Kementerian Kewangan minggu lepas untuk diperakukan,” kata Saifuddin Nasution dalam Majlis Santai Bersama Diaspora Malaysia di Singapura pada Rabu malam.
Saifuddin berkata, penggunaan aplikasi dalam tempoh ujian terbukti dapat memendekkan masa menunggu dan membantu mengurangkan kesesakan, manakala pengumuman rasmi mengenai aplikasi itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Apabila dilaksanakan, para pelancong masih perlu membawa pasport untuk pengesahan walaupun prosedur imigresen boleh diselesaikan melalui aplikasi tersebut.
Pada peringkat awal, aplikasi itu akan digunakan oleh penumpang bas dan penunggang motosikal di BSI dan KSAB, sebelum diperluaskan kepada semua pengembara di 141 pintu masuk di Malaysia.
Menurut analisis data, penumpang bas dan motosikal menyumbang hampir 80 peratus daripada trafik harian merentas sempadan, manakala kenderaan persendirian dan komersial menyumbang baki 20 peratus.
"Aplikasi ini akan membantu menangani isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), memudahkan pergerakan manusia dan barangan," tambahnya.
Sementara itu, Saifuddin berkata perbincangan dengan Singapura sedang dijalankan mengenai cadangan Malaysia untuk mewujudkan satu pusat pemeriksaan imigresen tunggal untuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link, yang kini sedang dalam pembinaan.
"RTS akan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam, jadi ia perlu lancar. Ini akan menjadi fokus dalam perbincangan saya dengan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam pada Khamis," katanya.
RTS Link adalah rangkaian kereta api penumpang sepanjang empat kilometer dengan dua stesen iaitu Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
Selain itu, Saifuddin menyebut bahawa kementerian terbuka untuk mempertimbangkan pemberian pas khas bagi warganegara Singapura yang menetap di Johor terutama dengan pembangunan JSSEZ.
"Ini adalah cadangan yang wajar dengan banyak manfaat," tambahnya semasa sesi soal jawab bersama diaspora Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram