Pasukan berada di lokasi selamat, anggota MALBATT terlibat serangan letupan Lubnan cedera ringan


  • Primer
  • Ahad, 10 Nov 2024

Enam anggota MALBATT Malaysia dilaporkan cedera akibat serangan Israel di Lubnan yang menyasarkan orang awam pada Khamis lalu.

KEMENTERIAN Pertahanan mengesahkan enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang terlibat dalam insiden letupan di Lubnan Khamis lalu hanya mengalami kecederaan ringan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lima daripada mereka adalah daripada pasukan yang baru tiba manakala seorang lagi merupakan anggota sudah sedia berada di Lubnan.

"Kementerian Pertahanan akan terus memastikan keselamatan anggotanya yang ditugaskan ke Lubnan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kerjasama awam-tentera (CIMIC) Angkatan Tentera di Balai Cerap Al-Biruni di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

BACA LAGI: Pasukan Malbatt di Lubnan terkena serpihan letupan serangan Israel, 6 anggota disahkan cedera

BACA LAGI: Enam anggota Malbatt Malaysia cedera selamat tiba di Kem Marakah

Khamis lalu, enam anggota MALBATT cedera berikutan insiden letupan berlaku berhampiran Stadium Saida, Lubnan semasa pergerakan pasukan MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada pukul 1.54 petang waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).

Letupan menyasarkan kenderaan awam yang sedang menuju ke Beirut itu turut menyebabkan kerosakan pada bas yang membawa anggota MALBAT 850-12.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, lokasi pasukan Malbatt di Kem Marakah adalah kawasan selamat.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah membabitkan peruntukan RM234.5 juta.

Ia melibatkan projek pembangunan Kem Tentera di Felda Sahabat, Lahad Datu, dan pembinaan kem 5 Briged dan 19 Rejimen Tentera Diraja Malaysia di Kota Belud.

Kementerian Pertahanan menurutnya turut memperuntukkan RM37.6 juta untuk pelaksanaan projek di Sabah tahun depan.

"Projek itu termasuk pembangunan Pos Serudong dan Pos Bantul, pembangunan kemudahan kesihatan tentera di Kem Lok Kawi dan pembinaan Pusat Operasi Perisikan Medan Zon Sabah," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram