Malaysia gesa PBB ambil tindakan tegas susulan insiden 6 anggota Malbatt cedera di Lubnan


  • Primer
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Enam anggota MALBATT Malaysia cedera akibat serangan Israel pada Khamis lalu.

MAJLIS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diminta untuk mengambil tindakan segera, tegas dan bersepadu demi memastikan keselamatan seluruh pasukan keselamatan Malaysia.

Ia susulan kejadian serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada Khamis lalu sehingga menyebabkan enam anggota dari pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 dan Malbatt 850-12 cedera.

Kementerian Luar justeru menegaskan bahawa peranan penting Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) tidak sepatutnya dikompromi.

BACA LAGI: Pasukan Malbatt di Lubnan terkena serpihan letupan serangan Israel, 6 anggota disahkan cedera

BACA LAGI: Enam anggota Malbatt Malaysia cedera selamat tiba di Kem Marakah

5869341825716827601

Pasukan Malbatt 850-11 dan Malbatt 850-12 yang menyertai misi di Lubnan dilaporkan terkena serpihan letupan pada Khamis.

Menurutnya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang turut mengorbankan tiga orang awam dan anggota Malbatt yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.

"Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang menjadi asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi serta infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.

"Ini satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian," katanya.

Kesemua anggota Malbatt yang cedera akibat menjadi serangan Israel di Lubnan bagaimanapun berjaya dibawa semula ke Kem Makarah.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat memaklumkan, kesemua enam anggota yang cedera sudah menerima rawatan yang diperlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram