Ada pihak sengaja sunting video beri gambaran buruk kononnya PM Anwar sokong Israel — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Anwar dikenali dengan pendirian menentang kezaliman dilakukan negara haram Israel ke atas penduduk Palestin.

KERAJAAN menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting temu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama agensi media antarabangsa CNN, kononnya Malaysia seolah-olah mengiktiraf negara haram Israel.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pendirian negara sememangnya jelas berhubung kekejaman yang melanda di Palestin malah isu itu juga sudah ditekankan beberapa kali dalam sidang parlimen.

“Kalau kita teliti kenyataan Perdana Menteri secara keseluruhan, beliau nyatakan pendirian tegas Malaysia melindungi kewujudan Palestin dan sehingga kini tidak pernah sekali pun mengiktiraf Israel.

BACA LAGI: Liga Arab beri amaran, Israel bakal hilang keahlian PBB

BACA LAGI: Jelajah 20 negara cari ilham, jurugambar amatur Serendah kongsi pengalaman gambar dibeli pelanggan Israel

“Hanya satu bahagian dari wawancara itu telah dipotong dan disebarkan memberi gambaran seolah-olah kerajaan Malaysia mengiktiraf Israel. Saya juga sedang meneliti dalam media sosial kenyataan atau kandungan yang masih menyebarkan maklumat fitnah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Jumaat.

Sebelum ini, tular klip video di media sosial memperlihatkan Perdana Menteri seolah-olah mengiktiraf kedudukan negara haram Israel ketika ditanya wartawan agensi antarabangsa tersebut.

Antara soalan diajukan adalah sama ada negara haram Zionis berhak untuk terus wujud selain hak mereka dalam mempertahankan diri dengan Anwar menjawab 'ya' terhadapnya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil berikutan Malaysia yang lantang menyuarakan isu kezaliman Israel namun ia tidak menjadi sebaran pihak berkenaan.

“Perdana Menteri telah beri penerangan mengenai hasrat Malaysia untuk bawa ke sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) usul keluarkan negara haram Israel dan ini langsung tidak disebut, ini sangat tidak adil,” katanya lagi. — The Star/RAHIMY RAHIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram