Pemuda Johor tak lokek kongsi 5 sebab musim luruh waktu terbaik berkunjung ke Norway


  • Hobi
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Norway merupakan negara yang terbaik untuk dilawati ketika musim luruh.

JIKA anda mencari destinasi luar negara untuk dikunjungi, Norway merupakan salah satu pilihan terbaik kerana menawarkan keindahan alam semula jadi yang sukar ditemui di tempat lain.

Negara itu terkenal dengan fjord, iaitu teluk semula jadi yang terbentuk oleh glasier ribuan tahun dahulu.

Geirangerfjord dan Nærøyfjord adalah dua contoh fjord yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan keindahannya memberi peluang kepada pengunjung untuk melakukan pelayaran, aktiviti mendaki atau sekadar menikmati pemandangan yang menenangkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Buku teks Sejarah dijadikan komik, Azrin Ahmad bijak tarik minat pelajar dapat 'result' cemerlang

BACA LAGI: Pernah hampir lemas, jurufoto wanita bertahun-tahun elak laut angkara fobia sebelum kembali mencipta nama

photo_6113768423122124905_w

Aktiviti mendaki sesuai dibuat ketika musim luruh.

Selain fjord, Norway juga kaya dengan gunung-gunung megah, air terjun yang menakjubkan dan hutan-hutan luas yang memukau.

Destinasi popular seperti Lofoten, Svalbard dan Taman Negara Jotunheimen adalah tempat kegemaran bagi pengembara yang ingin meneroka keindahan alam.

Di bahagian utara Norway, terutamanya di kawasan seperti Tromsø, pengunjung berpeluang menyaksikan fenomena aurora borealis, iaitu cahaya hijau mempesona di langit malam yang menjadikan pengalaman di Norway lebih bermakna.

Memandangkan Norway kini berada dalam musim luruh sejak September hingga November, terdapat banyak sebab untuk orang ramai mengunjungi negara itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, seorang pengembara, Fadzil Tahir menyenaraikan lima sebab yang menjadikan Norway sebagai negara tepat untuk dikunjungi ketika musim luruh.

1. Jumlah pelancong yang kurang

Selepas musim panas, jumlah pelancong yang berkunjung ke Norway menunjukkan pengurangan yang ketara.

Ini menyebabkan tempat-tempat popular menjadi lengang dan membuka peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam tanpa sebarang kesesakan.

Pengunjung juga berpeluang untuk mengambil gambar dengan keadaan persekitaran yang lebih baik.

photo_6113768423122124910_w

Daun-daun bertukar kekuningan sewaktu Fadzil berada di Norway.

2. Warna alam yang menakjubkan

Musim luruh mempersembahkan pemandangan alam yang mengagumkan dengan perubahan warna pada daun-daun pokok.

Hutan dan landskap Norway dipenuhi dengan warna cerah seperti merah, jingga dan kekuningan yang mencipta pengalaman visual memukau.

photo_6113768423122124908_w

Cuaca yang selesa juga mampu menjadikan penjelajahan di Norway ketika musim luruh menjadi satu hal yang indah.

3. Cuaca yang selesa

Menurut Fadzil, suhu pada musim luruh di Norway biasanya sejuk tetapi tidak terlalu dingin.

Cuaca yang nyaman itu sesuai untuk pengunjung melakukan aktiviti luar seperti mendaki gunung atau berbasikal.

Perkara itu juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung ketika meneroka alam sambil menikmati kesegaran angin.

4. Waktu siang dan malam yang seimbang

Fadzil berkata, musim luruh menawarkan tempoh siang dan malam yang lebih seimbang.

Perkara itu memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan indah pada waktu siang, serta merasai ketenangan malam dengan fenomena bulan terang yang memukau.

Fadzil berkata, keseimbangan waktu itu juga memudahkan pengembara untuk mengatur waktu solat mereka.

photo_6113768423122124909_w

Fadzil berpeluang melihat aurora borealis sewaktu di Norway.

5. Peluang melihat aurora borealis

Walaupun peluang menyaksikan aurora borealis lebih tinggi pada musim sejuk, Fadzil menganggap bahawa musim luruh juga menawarkan peluang yang baik untuk melihat fenomena alam itu.

Langit yang lebih cerah dan suhu yang lebih nyaman berbanding musim sejuk juga memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati fenomena itu tanpa gangguan cuaca yang ekstrem.

"Pengalaman saya selama tiga tahun di Norway, aurora pada musim luruh lebih cantik dan jelas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram