Sembunyi belakang pokok, jurufoto gadai nyawa rakam detik-detik peluru berpandu Israel hentam bangunan di Beirut


  • Benua
  • Rabu, 23 Okt 2024

Antara rakaman detik-detik kemusnahan yang berlaku di kawasan pangsapuri yang dikatakan menjadi lokasi penting kumpulan Hizbullah. — AP

JURUGAMBAR dari agensi berita The Associated Press (AP), Bilal Hussein yang bersembunyi di sebalik pokok besar sempat menghalakan lensa kameranya ke arah sebuah bangunan pangsapuri di Beirut, Lubnan yang menjadi sasaran tentera Israel.

Sejurus peluru berpandu menjunam dari langit beberapa saat kemudian, wartawan tersebut bersama kameranya berada pada kedudukan sempurna untuk mendokumentasikan rakaman detik-detik kemusnahan yang berlaku di kawasan tersebut.

“Saya mendengar bunyi desiran peluru berpandu berkenaan menuju ke arah bangunan sebelum saya memulakan penggambaran,” kata Bilal pada Selasa, beberapa jam selepas tentera Israel melancarkan serangan itu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Imej-imej yang dirakam oleh Bilal memaparkan gambar sebelum dan selepas struktur kawasan tersebut sekali gus memberikan pandangan yang menarik mengenai kemusnahan dalam peperangan moden.

AP24296447205904-1729662348

Kelihatan sebuah peluru berpandu menuju ke pangsapuri yang dikatakan menjadi lokasi penting kumpulan Hizbullah. — Agensi

Serangan pada hari Selasa itu berlaku kira-kira 40 minit selepas jurucakap tentera Israel menyiarkan amaran dalam bahasa Arab di media sosial dengan memaklumkan orang ramai di dalam dan sekitar bangunan di pinggir selatan ibu kota Lubnan agar segera mengosongkan kawasan berkenaan.

Amaran itu tidak menjelaskan mengapa bangunan berkenaan menjadi sasaran, namun difahamkan premis berkenaan berhampiran dengan lokasi penting dan kemudahan yang dikaitkan dengan kumpulan Hizbullah.

Amaran itu mendorong ramai orang meninggalkan kawasan kejiranan yang sibuk dan padat itu termasuk beberapa wartawan yang dalam keadaan berjaga-jaga.

Pada masa serangan, bangunan itu telah dikosongkan dan tiada laporan kemalangan jiwa berlaku.

Beberapa minit sebelum peluru berpandu mengenai bangunan itu, dua das peluru dilepaskan ke atas oleh tentera Israel sebagai amaran serangan.

Menurut seorang wartawan AP di tempat kejadian, ia adalah sebuah amalan yang dilakukan oleh pihak tentera Israel dalam serangannya ke atas Semenanjung Gaza.

Apabila peluru berpandu utama meluncur ke arah bangunan itu, keadaan menjadi kabur, namun kamera Bilal berjaya merakam gambar menunjukkan peluru berpandu menembusi ruang udara.

Dalam imej yang berikut, kepulan asap dan serpihan berkepul ke luar apabila bangunan itu runtuh.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram