[VIDEO] Kelibat anjing di puncak Piramid Giza cetus persoalan tahap keselamatan tapak bersejarah Mesir


  • Benua
  • Rabu, 16 Okt 2024

Tangkap layar daripada rakaman yang memaparkan haiwan berkenaan berada di puncak binaan berusia ribuan tahun itu.

KEUNGGULAN Piramid Giza yang megah berdiri buat kira-kira 4,000 tahun di Mesir tidak perlu diceritakan kerana ia diletakkan sebagai salah sebuah Tujuh Keajaiban Dunia Purba.

Selain sering diselubungi misteri, ketinggiannya yang mencecah 146.6 meter menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pembinaannya dengan perkara itu cuba dirungkai sehingga hari ini.

Namun, ia masih tidak terlepas daripada insiden menarik saban tahun dengan ratusan individu tidak bertanggungjawab cuba mendaki binaan berkenaan meskipun diharamkan kerajaan negara berkenaan.

BACA LAGI: Dua pesawat TUDM terbang ke Mesir bawa 40 rakyat Palestin cedera dapatkan rawatan di Malaysia

BACA LAGI: Perintis pertama ke Mesir, doktor gigi kelahiran Kelantan kentalkan hati timba pengalaman jahit muka pesakit

Tetapi, timbul pula satu kisah aneh baru-baru ini apabila seorang peminat sukan luncur layar bermotor atau paramotor merakam kehadiran seekor anjing liar di puncak piramid berkenaan.

Perkara tersebut mula tular di media sosial selepas pelancong, Alex Lang yang ketika itu berada berhampiran puncak binaan terbabit dengan anjing itu difahamkan sedang bermain-main dengan beberapa ekor burung.

"Seingat saya, anjing itu sedang menyalak terhadap burung-burung itu," katanya menurut laporan antarabangsa dengan orang ramai berasa kagum akan keazaman haiwan terbabit untuk mendaki ke puncak.

Malah, ada juga yang berasa khuatir akan keselamatan anjing terbabit yang dikhuatiri tidak dapat turun dengan selamat sehingga menyebabkan kecederaan serius atau kematian.

Beberapa pengguna media sosial turut mempersoalkan tahap kawalan pihak keselamatan yang ditugaskan menjaga Piramid Giza kerana gagal menghalang kehadiran haiwan terbabit.

Kerajaan Mesir sebelum ini mengisytiharkan sebarang percubaan mendaki binaan berkenaan adalah satu jenayah dengan pelaku boleh dikenakan denda antara 10,000 pound Mesir (EGP) atau RM883.37 sehingga 100,000EGP (RM8,833). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram