Ibarat hotel mewah, penghuni rumah orang tua kongsi sebab, duduk asing dengan anak lebih mudah dan tenang


  • Massa
  • Selasa, 15 Okt 2024

Penghuni rumah orang tua di Domitys dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama komuniti masyarakat.

KEPUTUSAN menetap di rumah orang tua mungkin dianggap sebagai kegagalan seseorang anak dalam merawat dan menjaga kedua ibu bapa yang uzur.

Meskipun begitu, pandangan itu tidak sentiasa menggambarkan realiti dan kompleksiti situasi dihadapi kebanyakan keluarga terutamanya dalam era serba moden ini.

Jika dahulu, tindakan menghantar ibu bapa di rumah tersebut dikira bertujuan melepaskan tanggungjawab, namun kini ramai memilih tempat itu sebagai fasiliti terbaik untuk menikmati waktu di usia emas.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakan menjerit minta tolong lihat kawan hilang dihanyut ombak deras ketika mandi-manda di Indonesia

BACA LAGI: Ada kesan bengkak, luka di badan, 4 pelajar tahfiz di KL disyaki didera sebelum hilang

6082629244506195740

Terdapat perkhidmatan rumah orang tua dengan fasiliti menarik ditawarkan di Malaysia. — Gambar hiasan

Lagi pula, terdapat banyak rumah orang tua yang menyediakan pelbagai kemudahan premium demi memberi keselesaan setara hotel lima bintang kepada golongan itu.

Begitu juga dengan seorang penghuni tetap di kediaman orang tua, Domitys Bangsar, Kuala Lumpur yang secara sukarela mahu menghabiskan waktu di rumah tersebut bersama suaminya.

Baginya yang mahu dikenali sebagai Sue, 85, keputusan itu dibuat olehnya kerana tidak mahu menjadi beban buat anak-anaknya.

Jauh merantau dari Pulau Pinang, Sue dan suami, John, 88, lebih tenang di tempat itu untuk melakukan pelbagai aktiviti dengan fasiliti yang disediakan.

6082629244506195738

Aktiviti komuniti dapat meluaskan rangkaian kenalan dalam kalangan warga emas. — Gambar hiasan

Setahun menetap, Sue berkata, rumah tersebut memberi pelbagai manfaat selain dapat meluaskan rangkaian kenalan dan melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

"Saya masuk sini dengan niat sendiri sebab mahu dekat dengan seorang anak saya yang bekerja di Kuala Lumpur juga.

"Seronoknya tempat ini sebab ada disediakan banyak aktiviti seperti fisioterapi, program memasak, karaoke dan macam-macam lagi.

"Kami berdua pun tak perlukan kereta untuk keluar sebab kalau nak masak mereka sudah sediakan bahan mentah sekali," katanya kepada Majoriti.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, keputusannya ternyata bukan perkara sia-sia meskipun tidak ditemani ahli keluarga lain dan hanya dipantau oleh pihak pengurusan Domitys.

6082629244506195739

Aktiviti memasak antara yang digemari penghuni rumah orang tua tersebut.

Katanya, tinggal di rumah bersama anak-anak tidak menjamin sebarang kebebasan atau keseronokan seperti di rumah warga emas itu.

"Kalau duduk di rumah anak pun bosan, dan tak boleh kenal dengan kawan-kawan baharu. Mereka sibuk bekerja dan ada juga perkara penting yang mahu diuruskan.

"Jadi, disebabkan mereka risau jika tinggalkan kami berdua di rumah, lebih baik duduk di rumah orang tua ini sehingga hujung hayat kami.

"Anak-anak dan cucu pun selalu juga datang melawat kami dan mereka sangat seronok buat aktiviti di sini," katanya.

Sue pada masa sama mengambil peluang itu untuk memberi sedikit pesanan kepada masyarakat luar untuk melihat sisi berbeza para penghuni rumah orang tua.

6082629244506195741

Pelbagai fasiliti mewah disediakan demi memberi keselesaan buat si penghuninya.

Menurutnya rumah tersebut bukanlah tempat anak-anak 'menghalau' atau 'membuang' ibu bapa, malah membantu mereka mengisi waktu lapang dengan aktiviti lebih bermakna.

Bagi yang mungkin belum tahu, Domitys bukanlah pusat kebajikan atau penjagaan warga emas, namun ia berfungsi sebagai tempat khas buat golongan itu menjalani gaya hidup aktif sambil menimba ilmu tentang kepentingan penjagaan kesihatan asas.

Ia juga menawarkan kediaman yang luas, berkualiti tinggi dan terjamin dengan reka bentuk pangsapuri mewah demi mewujudkan suasana selamat dan selesa.

Semua kediaman itu disediakan fasiliti riadah yang membolehkan para penghuni menikmati rutin harian dan dapat berinteraksi dengan komuniti mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram