PEMENANG Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengangkat sumpah jawatan untuk menerajui kerajaan peralihan terdiri daripada 17 anggota di Bangladesh pada Jumaat, menurut laporan Anadolu.
Hal itu demikian berlaku selepas protes berminggu-minggu yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Liga Awami yang dipimpin oleh Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Majlis angkat sumpah Yunus, 84 tahun, dan pasukannya diadakan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin di pejabat presiden di Dhaka.
BACA LAGI: Tak mampu tanggung kos sendiri, kakak rayu kerajaan bawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh
Terdahulu, penunjuk perasaan dalam kalangan pelajar mengancam akan melakukan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan. — Agensi
Jawatan ketua kerajaan peralihan dikenali sebagai "ketua penasihat."
Kerajaan peralihan itu majoritinya terdiri daripada teknokrat, termasuk dua anggota kumpulan pelajar yang memimpin protes yang menyebabkan Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India pada Isnin.
Ketua Tentera Jeneral, Waker-Uz-Zaman mengumumkan pembentukan kerajaan peralihan selepas Hasina melarikan diri.
Yunus, yang berada di Perancis ketika pengumuman dibuat, pulang ke Dhaka pada Khamis dan menyatakan harapan untuk meneruskan perubahan yang dicapai oleh protes pelajar.
Bangladesh mengalami protes pelajar berskala besar sejak Julai, berikutan kuota pekerjaan perkhidmatan awam yang kontroversial, menyebabkan lebih 400 kematian.
Pada Selasa, Shahabuddin membubarkan parlimen yang dipilih pada Januari ketika Hasina diangkat sebagai perdana menteri untuk kali keempat.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) kini menuntut pilihan raya kebangsaan dalam tempoh tiga bulan untuk mengalihkan kuasa kepada wakil rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram