Kehilangan ayah ketika berusia 30 hari, pelajar Politeknik kejar impian jadi jurutera


  • Massa
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Asyraf (kanan) bersama ibunya (kiri) semasa hari pendaftaran pelajar di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang pada Selasa. — KPT Politeknik

USAHA dan tekad seorang remaja lelaki dalam mengejar cita-citanya menjadi jurutera tidak sia-sia selepas menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian bagi Diploma Kejuruteraan Makanikal (Loji) di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.

Demi mencapai impiannya, Muhamad Daniel Asyraf Abdul Aziz, 18, sanggup berhijrah dari Kelantan ke Pulau Pinang.

Anak sulung daripada enam beradik yang terpaksa menumpang kasih ayah tiri selepas kehilangan ayah kandungnya akibat kemalangan jalan raya ketika usia Asyraf 30 hari itu juga menyimpan harapan untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarganya.

BACA LAGI: Doktor anak 4 bijak manfaat masa 15 minit sebelum tidur

BACA LAGI: Rakyat Pulau Pinang sentiasa dihatinya

unnamed (1)

Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. — Gambar hiasan/Politeknik

Berasal daripada keluarga sederhana, Asyraf bertekad untuk menjadi seorang daripada calon pelajar yang menerima anugerah Khas Ketua Jabatan setiap semester.

Asyraf berkata, meskipun ayah tirinya bekerja sebagai buruh kasar, namun pengorbanan sepanjang membesarkan dirinya seawal dua tahun perlu dikenang dan dihargai.

"Ibu dan ayah merupakan insan yang paling banyak mendorong saya untuk terus maju dalam pelajaran.

"Semoga apabila saya berjaya nanti, saya akan membalas jasa kedua ibu dan ayah," katanya dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

Manakala, menurut ibunya, Rosenani Wahab, 44, hanya bekalan pelajaran dan doa yang mampu diberikan untuk kejayaan anaknya di masa hadapan kelak.

6149949777379441929

Asyraf mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera. — Gambar hiasan/The Star

Katanya, walaupun lebih selesa anak tinggal bersama di rumah, namun terpaksa mencekalkan hati demi keinginan untuk melihat anak terunanya berjaya dalam pelajaran.

Malah, Pengarah Politeknik Seberang Perai, Hajah Roseliza binti Dato’ Shaari menasihatkan para pelajar agar selalu kuat megharungi cabaran ketika belajar.

"Sebenarnya tiada formula tertentu untuk berjaya, hanya diri kita sendiri yang boleh menolong kita dan menentukan sejauh mana boleh melangkah pergi.

"Untuk berjaya pasti ada liku-likunya. Justeru, kita perlu bangkit untuk lebih kuat dan saya sangat yakin mereka mampu mencapai sesuatu yang tinggi lebih daripada yang difikirkan," katanya.

Beliau pada masa sama berkata, pihaknya sentiasa menjadi pemudah cara dan membantu menyediakan segala perkara yang diperlukan demi memastikan tiada pelajar yang tercicir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram