SETELAH melancarkan serangan kejam hampir 9 bulan terhadap wilayah Gaza, rejim Zionis dilaporkan mengalami masalah kekurangan peluru dan kereta kebal, lapor media Israel pada Isnin.
Menurut laporan yang diserahkan kepada Mahkamah Agung Israel, rejim itu mengakui bahawa sejumlah kereta kebal mereka rosak atau mengalami masalah, bagaimanapun jumlah tepat tidak didedahkan, berdasarkan media harian Israel, Yedioth Ahronoth.
Pengakuan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap tuntutan rasmi kemasukan askar wanita ke dalam tentera Kor Armor tentera Israel.
Ketua Staf Tentera, Herzi Halevi berkata, kemasukan askar wanita ditangguhkan sehingga November 2025 kerana kekurangan bekalan peluru.
"Jumlah kereta kebal yang diperlukan untuk beroperasi dalam kor tidak mencukupi untuk keperluan peperangan dan untuk menjalankan eksperimen penempatan tentera wanita," dedah fail mahkamah itu, seperti yang dilaporkan oleh Yedioth Ahronoth lagi.
Dijangkakan kereta kebal tidak akan ditambah ke dalam Kor Perisai, tetapi mereka berminat untuk mendapatkan lebih banyak senjata daripada Amerika Syarikat.
"Sama ada untuk kegunaan perang mahupun latihan, jumlah kereta kebal sekarang tidak mencukupi. Tambahan lagi, sumber tambahan yang diperlukan untuk membaiki mesin jentera sangat terhad dan kami bekerja sebaiknya untuk membaikinya".
Laporan itu juga menyentuh bagaimana ia merupakan kali pertama bagaimana pihak tentera mengakui bahawa mereka kehilangan kereta kebal semasa pertempuran di Gaza.
Daripada kiri, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Sepanjang perang di Gaza, sekutu lama Israel iaitu Amerika Syarikat menyediakan negara tersebut dengan senjata bernilai berbilion dolar AS, meskipun baru-baru ini Perdana Menteri Israel menghentam Presiden Joe Biden kerana melewatkan penghantaran peluru.
Kekurangan peluru meninggalkan persoalan mengenai kemampuan pihak Israel dengan Hizbullah, memandangkan hampir setiap hari dua entiti tersebut berbalas tembakan.
Pada Jun, rejim itu mendakwa bahawa mereka mampu menggunakan senjata yang belum digunakan jika pertempuran rentas sempadan meningkat.
Penemuan 'mass graves' di Hospital Al-Shifa, Gaza pada 17 April 2024 selepas operasi ketenteraan Israel berlaku ke atas Wilayah Palestin — Kredit/AFP
Setakat sembilan bulan perang ini berlaku, rejim Zionis membunuh sekurang-kurangnya 38,713 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakan mereka iaitu wanita dan kanak-kanak serta 505 orang di Lubnan dalam pertempuran rentas sempadan, kebanyakannya pejuang Hizbullah, dan juga 98 orang awam.
Tindakan keji Israel dikutuk oleh agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan hak asasi manusia dan beberapa negara atas serangan yang berlaku, di mana krisis kemanusiaan yang kejam telah berlaku.
PBB berulang kali memberi amaran tentang krisis kebuluran yang berlaku, dengan Setiausaha Agung Antonio Guterres memanggil wilayah itu sebagai 'zon pembunuhan', apabila penduduk kawasan itu terdedah menjadi mangsa pelbagai serangan, kekurangan makanan dan juga keperluan asas. . — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram