[VIDEO] Baru umur 20 tahun, Thomas Matthew Crooks dikenal pasti suspek penembak cubaan bunuh Trump


  • Benua
  • Ahad, 14 Jul 2024

Trump cedera selepas terkena tembakan pada perhimpunan calon di Butler, Pennsylvania pada Ahad pagi (waktu tempatan). — Agensi

BIRO Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah mengenal pasti Thomas Matthew Crooks, berusia 20 tahun sebagai individu terlibat dalam cubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perkara itu diumumkan katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Crooks, berasal dari Bethel Park, Pennsylvania, merupakan ahli berdaftar parti Republikan, menurut rekod pengundi negeri itu.

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan pada Ahad berkata, ruang udara di Bethel Park ditutup serta-merta atas sebab keselamatan khas.

Sebelum ini, FBI berkata, mereka masih menyiasat motif di sebalik cubaan pembunuhan itu.

Anadolu juga melaporkan seorang saksi memberitahu BBC bahawa dia melihat seorang lelaki dengan senapang di atas bumbung beberapa minit sebelum kejadian tembakan berlaku.

Greg Smith berkata, dia menunjukkan lelaki bersenjata itu kepada polis ketika suspek sedang merangkak di atas bangunan di luar lokasi acara perhimpunan di Butler County.

Trump cedera selepas terkena tembakan pada perhimpunan calon di Butler, Pennsylvania pada Ahad pagi (waktu tempatan).

Beliau ketika itu sedang berucap menjelang pilihan raya bagi menentang Joe Biden dan merebut semula jawatan presiden negara itu.

Ahli perniagaan itu dilihat mengalami pendarahan di telinga kanannya sebelum pegawai penguat kuasa undang-undang bersenjata bergegas ke arahnya lalu membawanya pergi.

Beliau dalam pada itu sempat menunjukkan isyarat penumbuk sewaktu diiringi ke kenderaan oleh Perkhidmatan Rahsia (Secret Service) negara.

Perkhidmatan Rahsia memaklumkan Trump kini berada dalam keadaan selamat dan sedang diperiksa di kemudahan perubatan tempatan dan Rumah Putih.

Menurut sumber penguatkuasaan undang-undang, lelaki bersenjata itu dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari atas sebuah bangunan yang berada di luar perimeter keselamatan.

Suspek tembakan itu bagaimanapun berjaya dibunuh oleh pasukan penyerang Perkhidmatan Rahsia.

Dalam pada itu, seorang orang awam dipercayai berdiri di belakang Trump di atas podium dilaporkan turut terbunuh dalam insiden berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram