[VIDEO] Joe Biden tersilap perkenal Presiden Ukraine sebagai Putin semasa 'live'


  • Benua
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Tangkap layar video memaparkan siaran langsung ucapan Biden ketika sidang kemuncak NATO di Washington pada Khamis.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membuat kesilapan selepas memperkenalkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai 'Presiden Putin' semasa sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington pada Khamis.

Insiden memalukan yang turut dirakam menerusi siaran langsung itu berlaku semasa Joe ketika ini turut berdepan dengan persoalan mengenai keupayaannya untuk terus mentadbir negara.

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

"Dan sekarang saya mahu menyerahkan acara kepada Presiden Ukraine, yang mempunyai keberanian yang sama seperti dia mempunyai keazaman.

“Tuan-tuan dan puan-puan — Presiden Putin. Presiden Putin,” kata Biden, sebelum menyedari kesilapannya.

Zelenskyy kemudiannya cuba mengawal keadaan sambil turut berseloroh dengan berkata, "Saya lebih baik."

Gurauan itu disambut Biden yang seterusnya memberikan respons segera dengan menjawab, "Anda jauh lebih baik."

Kekeliruan yang terjadi berlaku kurang sejam sebelum Biden dijadual bertemu dengan wartawan di Washington.

Ia merupakan sidang media pertamanya sejak acara debat bersama bekas Presiden AS, Donald Trump pada akhir Jun lalu yang menyaksikan beliau dikritik selepas dilihat berdepan kesukaran untuk membalas hujah lawannya.

Susulan daripada insiden memalukan ketika acara debat berkenaan, ramai ahli politik daripada parti Demokrat menyeru Biden untuk menarik diri sebagai calon presiden parti berkenaan.

Ini kerana perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli parti berhubung keupayaan fizikal dan mental Biden yang juga Presiden AS tertua untuk meneruskan penggal kedua pentadbiran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram