Kereta dipandu laju, jalan berlubang didakwa punca seorang maut 2 kenderaan bertembung di lampu isyarat Fujimart Tawau


  • 112
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Keadaan kenderaan Toyota Vios remuk selepas bertembung dengan pacuan empat roda di kawasan lampu isyarat Fujimart, Jalan Kuhara, Tawau pada Jumaat. — Bomba

SEORANG lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda di kawasan lampu isyarat Fujimart, Jalan Kuhara dekat Tawau, Sabah pada awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 2.01 pagi.

"Seramai sembilan orang orang termasuk komander Operasi, PBK II Mohd Yahya Abd Fattah telah bergegas ke lokasi kejadian dengan membawa jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna peralatan khas keluarkan mayat 4 sahabat bertindih dalam kemalangan di Simpang Renggam

"Seorang mangsa iaitu pemandu kenderaan Toyota Vios tersepit dan mengalami kecederaan parah.

"Mangsa dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan Bomba dengan menggunakan peralatan khas namun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin turut mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Tsen Yeak Yang, 33 tahun.

"Hasil siasatan kejadian melibatkan pacuan empat roda jenis Land Cruiser jenis Toyota Prado yang dipandu lelaki berusia 19 tahun dan kereta Toyota Vios yang dipandu mangsa.

"Ketika kejadian, pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Taman Semarak ke Bandar Tawau manakala mangsa dari arah Fujimart menuju ke Taman May Flower, Jalan Kuhara.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung di bahagian tengah jalan sehingga menyebabkan pacuan empat roda berpusing dan melanggar tiang lalu terbabas sejauh 105 meter sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Sementara itu, kereta Toyota Vios terbabas sejauh 155 meter ke bahu jalan kiri menuju bandar Tawau dan menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian pemandu," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

449753776_780876067594012_5820200704822085928_n

Bomba dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta Toyota Vios. — Bomba

Kemalangan itu turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya selepas beberapa gambar insiden itu tular di media sosial pada hari yang sama.

Seorang pengguna Facebook, Philip Martin mendakwa insiden itu berkemungkinan berpunca daripada keadaan jalan raya berlubang di kawasan berkenaan yang tidak di selenggara dengan baik dan kedua-dua mangsa memandu dengan laju.

"Jalan di situ tidak rata, tambah lagi pengguna jalan raya yang laju. Ada juga kawan cerita, masa kejadian, dua-dua laju. Itu yang menyebabkan kedua-duanya bertembung," tulisnya.

Faustina Alex pula berharap agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak terbabit membuat speed bump bagi mengurangkan had laju di kawasan itu.

"Terlalu kerap kemalangan di kawasan tersebut walaupun ada lampu isyarat. Banyak yang bawa kereta laju terutamanya pada waktu malam. Salam takziah buat keluarga mendiang. Semoga dijadikan pengajaran buat semua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram