Presiden Iran terkorban: Tiada isyarat dikesan dari helikopter terhempas, kata Menteri Pengangkutan Turki


  • Benua
  • Selasa, 21 Mei 2024

Helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi ditemukan musnah terbakar dan disahkan tiada mangsa terselamat. — Agensi

TIADA isyarat awal dapat dikesan ketika insiden helikopter terhempas yang mengorbankan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar, Amirabdollahian di barat laut Iran pada Ahad.

Menteri Pengangkutan Turki, Abdulkadir Uraloglu berkata, siasatan awal mendapati bahawa terdapat kemungkinan helikopter tersebut tidak dipasang sistem transponder atau ia dimatikan.

Abdulkadir berkata, ia selepas pihak berkuasa Turki memeriksa isyarat daripada transponder helikopter yang seharusnya memberikan informasi radar dan lokasi mereka.

BACA LAGI: Presiden Iran, Menteri Luar sah maut dalam nahas helikopter terhempas

BACA LAGI: [VIDEO] Dron Turki kesan haba, dipercayai helikopter terhempas Presiden Iran

2704006

Detik-detik ketika pesawat tersebut terhempas sebelum terbakar di lokasi berkenaan. — Agensi

"Malangnya, kami fikir, kemungkinan besar sistem transponder dimatikan atau helikopter itu tidak mempunyainya," katanya.

Berdasarkan laporan agensi, kerajaan Iran kini digesa untuk membeli dua helikopter Rusia untuk para pemimpinnya susulan insiden tersebut.

Dalam pada itu, bekas Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif menyalahkan sekatan Amerika Syarikat (AS) kerana menyukarkan pembelian alat ganti untuk pesawat itu serta mendakwa bahawa kejadian berkenaan termasuk dalam senarai hitam jenayah AS terhadap Iran.

Namun, setakat ini, tiada laporan lanjut mengatakan terdapat unsur khianat atau jenayah dalam insiden tersebut.

Terdahulu, kenderaan udara tanpa pemandu, dron (UAV) Bayraktar Akinci Turki berjaya menemui punca haba dipercayai serpihan helikopter tersebut.

Kementerian Pertahanan Turki dalam pada masa sama menugaskan UAV Akinci dan helikopter jenis Cougar dengan keupayaan penglihatan malam untuk menyertai aktiviti pencarian terbabit.

Sementara itu, difahamkan dua pemimpin yang terkorban itu dalam penerbangan pulang daripada sebuah majlis bagi merasmikan pembukaan empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan, sebelum helikopter dinaikinya terhempas dan terbakar sewaktu mendarat di wilayah Varzaqan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram