Iran sedia serang Israel dalam tempoh 24 jam, AS kerah kapal perang bantu sekutu


  • Benua
  • Sabtu, 13 Apr 2024

Amaran mengenai kemungkinan tersebut meningkat selepas serangan dilakukan Israel terhadap kedutaan Iran di Damsyik, Syria yang meragut nyawa seorang pegawai kanan tentera republik Islam berkenaan. — Agensi

ISRAEL kini sedang berada di tahap siap sedia terhadap serangan terus bakal dilancarkan Iran terhadap kawasan ditadbir rejim tersebut.

Amaran mengenai kemungkinan itu meningkat selepas serangan dilakukan Israel terhadap kedutaan Iran di Damsyik, Syria yang meragut nyawa seorang pegawai kanan tentera republik Islam berkenaan.

Amerika Syarikat (AS) dan badan perisikan lain menerusi penilaian dilakukan berkata, tindak balas daripada Iran dijangka berlaku seawal Ahad.

Presiden AS, Joe Biden memberi amaran kepada Israel mengenai kemungkinan tersebut.

Pada masa sama, dia juga memberi amaran kepada Iran supaya tidak melakukan tindakan serangan berkenaan.

"Saya tidak mahu berkongsikan maklumat yang perlu dilindungi tetapi saya menjangkakan ia (serangan Iran) mungkin lebih cepat daripada sepatutnya," kata Biden kepada pemberita selepas satu acara.

Menurut laporan daripada Wall Street Journal dan Bloomberg, serangan daripada Iran itu merupakan antara senario utama yang perlu diberi perhatian oleh rejim Israel.

Memetik kenyataan daripada individu yang mempunyai maklumat berhubung perkembangan tersebut, laporan tersebut menyatakan serangan itu mungkin melibatkan pengeboman menggunakan dron dengan peluru berpandu berketepatan tinggi yang dijangka berlaku dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan penilaian Ancaman Global Oleh Agensi Perisikan Pertahanan yang dikeluarkan pada Khamis, sebarang serangan daripada Iran ke atas Israel akan melibatkan kombinasi serangan peluru berpandu dan dron negara republik berkenaan.

Menurut agensi berkenaan, Iran mempunyai inventori peluru berpandu balistik yang mampu menyerang sasaran sejauh 2,000 kilometer dari sempadannya.

BACA LAGI: 'Sampai mati saya tak lupakan dia', nenek reda 8 tahun cucu hilang tanpa khabar berita

AP24103689575686

Presiden AS, Joe Biden.

BACA LAGI: 'Pengangkutan awam masih kurang memuaskan tapi dah nak fokus kereta EV'

AS sebelum ini sudah menyalurkan aset ketenteraan tambahan untuk melindungi tentera Israel dan negaranya di rantau Timur Tengah.

Negara itu juga memindahkan dua kapal perang pemusnah ke Laut Mediterranean Timur, menurut seorang pegawai Tentera Laut AS.

Salah satunya ialah USS Carney, yang baru-baru ini berada di Laut Merah bagi memberikan perlindungan pertahanan udara terhadap dron dan peluru berpandu anti-kapal milik militan Houthi di Yaman.

AS juga menggandakan usaha diplomatiknya untuk mengekang permusuhan di rantau itu yang sudah berada di tahap genting sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Palestin dalam usahanya menghapuskan pejuang Hamas.

Pegawai AS pada masa sama menjalankan usaha menghantar mesej ke Iran melalui pelbagai saluran termasuk bersama Arab Saudi, Qatar, dan beberapa kerajaan lain.

Biden juga menghantar ketua Komando Pusat AS, Jeneral Michael Kurilla, ke Israel untuk rundingan segera mengenai ancaman dari Iran.

Shadow war atau 'perang bayangan' antara Iran dan Israel kembali memuncak apabila serangan udara dilakukan rejim Zionis terhadap konsulat Iran di Damsyik mengorbankan tujuh orang, termasuk dua jeneral.

Iran segera mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa ia bersedia untuk berperang dan akan memberikan 'tamparan hebat' kepada Israel.

Susulan daripada itu, Israel segera mengambil langkah berjaga-jaga termasuk dengan membatalkan cuti kepada anggota tentera tempurnya, memanggil askar simpanan dan memperkuat pertahanan udara.

Tentera Israel turut melancarkan meningkatkan pemantauan di ruang udaranya bagi memantau kehadiran dron atau peluru berpandu yang mungkin dihalakan ke kawasan ditadbirnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram