[VIDEO] Lepas 26 jam terperangkap, lelaki mati tersepit di laluan sempit dibiar bersemadi dalam gua


  • Benua
  • Ahad, 07 Apr 2024

John Edward Jones meninggal dunia setelah 26 jam terperangkap di dalam Gua Nutty Putty di Utah.

NOVEMBER 2009 mencatatkan sebuah kisah tragis apabila seorang lelaki yang terperangkap di celah laluan gua meninggal dunia ketika penyelamat bergelut untuk menyelamatkannya.

John Edward Jones yang berasal dari Stansbury Park maut apabila terperangkap di Gua Nutty Putty yang terletak di barat Tasik Utah, berhampiran Lembah Cedar.

Menurut pegawai syerif, mangsa memasuki gua itu kira-kira pukul 6 petang bersama 11 individu lain, namun terperangkap kira-kira 8.45 malam dalam laluan sempit di gua berkenaan. Laluan itu dikenali sebagai Bob's Push.

Jurucakap Sarjan Daerah Utah Spencer Cannon memberitahu CNN bahawa mangsa terperangkap dalam keadaan terbalik dalam laluan gua yang lebarnya kira-kira 18 inci (0.46 meter) dan tinggi kira-kira 10 inci (0.25 meter).

"Ketika kerja mengeluarkan mangsa, pihak penyelamat menggunakan sistem untuk menaikkan dan menahannya pada satu kedudukan.

"Bagaimanapun, salah satu peranti sistem itu gagal berfungsi dan mangsa terjatuh semula ke lokasi dia terperangkap selama lebih 26 jam," katanya.

Sebelum tengah malam Rabu, penyelamat berjaya mendekati mangsa dan membuat kesimpulan bahawa mangsa sudah tidak bernafas dan tidak mempunyai nadi.

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara dendam kesumat, anak tembak 6 das suspek bunuh ayah dalam mahkamah

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis

Pihak penyelamat tetap mahu mengeluarkan mangsa dan berbincang kaedah terbaik bagi membawa keluar mayat Jones.

Pihak penyelamat cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Jones dalam tempoh 24 jam, namun mereka berdepan situasi sulit antaranya untuk menembusi laluan yang sukar dan berbahaya itu.

Setelah lebih 28 jam berusaha membawa mangsa keluar, pihak penyelamat dan keluarga mangsa bersetuju untuk menutup gua tersebut selamanya bersama mayat mangsa.

Bahan letupan digunakan untuk meletupkan pintu masuk gua tersebut dan simen ditimbus untuk mengelakkan gua tersebut dimasuki oleh orang awam. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram