KEJADIAN pengabaian kanak-kanak merupakan satu jenayah yang tidak sepatutnya diambil ringan oleh mana-mana pihak.
Ini kerana dalam kebanyakan kes, insiden sedemikian sering kali berakhir dengan tragedi kematian.
Sekitar Jun tahun lalu, penduduk di Ohio, Amerika Syarikat digemparkan dengan kematian seorang bayi berusia 16 bulan selepas ditinggalkan keseorangan oleh ibunya di rumah.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak malang itu yang dikenali sebagai Jailynn dibiarkan di kediaman tersebut oleh ibunya yang pergi bercuti selama 10 hari bersama rakan lelakinya di kepulauan Puerto Rico yang terletak ratusan kilometer dari rumahnya.
Dalam kejadian tersebut, pasukan pendakwaan diberitahu wanita tersebut, Kristel Candelario meninggalkan anaknya di kediaman berkenaan di dalam tempat bermain bersama beberapa botol susu.
Selepas menghabiskan percutiannya, Kristel pulang ke rumahnya pada 16 Jun 2023 hanya untuk mendapati anak perempuannya itu sudah tidak bernyawa.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Jailyn dipercayai meninggal dunia pada hari kedua dia ditinggalkan berseorangan di rumah. — Agensi
Sementara itu, rakaman video diambil daripada kamera loceng jiran turut merakamkan bunyi tangisan Jailyn selepas dia ditinggalkan.
Menerusi klip tersebut, suara jeritan bayi itu boleh didengar secara kerap termasuk pada pukul 1 pagi semasa hari kedua dia dibiarkan berseorangan, iaitu waktu dia dipercayai menghembuskan nafas terakhir.
Di sebalik tangisan yang boleh didengar di lorong luar rumahnya itu, tiada mana-mana pihak tampil untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Pada prosiding perbicaraan yang berlangsung pada Februari lalu, Kristel mengaku bersalah atas dua pertuduhan masing-masing bagi kesalahan membunuh dan mengabaikan kanak-kanak.
Semasa menjatuhkan hukuman pada Isnin lalu, ahli patologi forensik, Elizabeth Mooney memberitahu mahkamah bahawa bayi malang itu mengalami kebimbangan perpisahan yang melampau bagi budak yang berusia sembilan dan 18 bulan.
Elizabeth turut menceritakan hari-hari terakhir yang dijalani oleh Jailyn.
“Kesakitan dan penderitaan yang ditanggungnya bukan sahaja berjam-jam, bukan berhari-hari, malah mungkin selama seminggu,” katanya sambil tidak dapat menahan sebak.
"Perasaan ditinggalkan selama berhari-hari, ditambah dengan kelaparan dan kehausan yang melampau adalah sejenis penderitaan yang saya tidak fikir mana-mana daripada kita dapat memahami sepenuhnya," ujarnya lagi.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Kristel dalam keputusannya pada Isnin.
Dalam pada itu, pegawai penyiasat kes tersebut turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang paling mengerikan pernah disaksikan dalam sejarah kerjaya mereka.
Beberapa pegawai penguat kuasa undang-undang termasuk Polis Cleveland, Teresa Gomez tidak dapat menahan air mata ketika mereka menggambarkan keadaan bayi itu.
"Ini adalah kes yang akan sentiasa menjelma dalam fikiran dan hati kami selama-lamanya," kata Gomez ketika hari perbicaraan.
Penolong Pendakwa Raya Daerah Cuyahoga, Anna Faraglia turut memainkan rakaman kamera keselamatan yang memaparkan ibunya mengangkut beg pakaian ke kereta pada 6 Jun dan pulang ke rumah pada 16 Jun.
Beberapa minit selepas dia kembali, Kristel terus menghubungi panggilan kecemasan 911.
"Tolong saya perlukan bantuan," dia meraung dalam panggilan tersebut yang turut didengarkan semasa perbicaraan.
“Tolong, tolong, tolong saya. Anak perempuan saya sedang nazak.”
Rakaman kamera keselamatan polis memaparkan Kristel ketika ditemui selepas dia membuat panggilan kecemasan mengenai keadaan anaknya yang sudah tidak bernyawa. — Agensi
Pada waktu itu. Kristel telah memakaikan Jailyn dengan pakaian bersih sebelum petugas kecemasan tiba, kata pendakwa raya
Tetapi tindakan tersebut tidak dapat menyembunyikan keadaan sebenar yang dilalui bayi itu.
Anna berkata, Jailyn ditemui terbaring di atas tilam berlumuran air kencing dan najis.
"Haiwan menjaga bayi mereka dengan lebih baik," katanya.
Bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan kurus kering, dengan mata cengkung, bibir kering dan tahi terpalit di mulut dan kukunya.
Penyiasat berkata, Kristel telah meninggalkan Jailyn keseorangan di rumah berkenaan selama dua hari sebelum dia pergi bercuti.
Dalam pada itu, ibu bapa Kristel dalam satu kenyataan merayu kepada hakim untuk memberikan belas ihsan kepada anak mereka.
Ibunya, Ketty Torres berkata, anak perempuannya bergelut dengan masalah kesihatan, termasuk penyakit kesihatan mental.
Katanya, tahap kesihatan mental Kristel juga bertambah buruk selepas wanita itu berhenti mengambil ubat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram