SEORANG bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz bayi berkata, bayi berkenaan baharu sahaja dihantar dua hari ke rumah pengasuh itu.
Menurut A Asmadi, polis menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya pada pukul 1.04 petang, Selasa.
Katanya, pengadu menerima bayi berkenaan yang dibawa pengasuh pada pukul 11.45 pagi, namun semasa tiba di zon merah bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pengasuh turut memaklumkan melakukan bantuan pernafasan sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit namun bayi itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.16 tengah hari,” katanya.
Asmadi berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas bayi itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
Menurutnya, polis merakam percakapan daripada ibu bapa mangsa dan pengasuh.
Bapa mangsa juga memaklumkan anaknya dihantar ke rumah pengasuh ketika hari kejadian dalam keadaan tidak sihat kerana mengalami batuk seminggu sebelum ini.
Katanya, ibu mangsa pula ada memberitahu yang pada Isnin lalu, anaknya dihantar ke sebuah Klinik di Presint 18 untuk pemeriksaan kesihatan.
"Ketika pemeriksaan, dia dimaklumkan doktor bahawa keputusan x-ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah.
“Ibu bayi itu turut memaklumkan, doktor di klinik itu memberikan ubat batuk dan ubat gatal dan dia hanya memberikan ubat batuk kepada anaknya itu,” katanya.
Mangsa dikatakan berada dalam keadaan baik ketika dihantar kepadanya.
Meskipun demikian, pengasuh ada dimaklumkan bahawa mangsa mengalami sedikit batuk dan kemungkinan berkahak.
"Pengasuh yang selesai solat duha, menyedari mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila mahu dikejutkan untuk menyusu," katanya.
Tambahnya, susulan itu, pengasuh melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mendapati terdapat sedikit darah keluar di lubang hidung kiri bayi berkenaan.
“Pengasuh berkenaan terus menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan kepada ibu bapanya lalu membawa mangsa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Asmadi berkata, rakaman percakapan pengasuh pula mendapati, dia menjaga empat orang kanak-kanak termasuk mangsa dan bayi berkenaan yang dihantar pada pukul 8 pagi oleh ibunya.
Difahamkan, pengasuh pernah mengikuti kelas bantuan pernafasan beberapa kali semasa bekerja di sebuah hotel sebelum ini.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram