Kuala Kubu Bharu lambang kehebatan kejuruteraan orang Melayu


  • Massa
  • Sabtu, 09 Mac 2024

Empangan Sungai Selangor di Kuala Kubu Bharu antara empangan terbesar di Selangor.

KUALA Kubu menyaksikan kehebatan dan keupayaan kejuruteraan orang Melayu sebelum revolusi industri yang dibawa oleh orang Inggeris.

Sekitar 1780-an sebuah empangan yang berfungsi sebagai takungan (reservoir) untuk penternakan ikan dan sumber air serta lokasi perlombongan bijih timah telah dibina.

Dengan bantuan Orang Asli tempatan, orang Melayu berjaya membina empangan kukuh yang panjangnya 1.6 kilometer (km) dengan lebar 90 hingga 100 meter hanya menggunakan kayu dan tanah.

“Apabila empangan penuh, air yang melimpah menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih tercampak ke dalam arus deras ini. Lumpur dan tanah akan hanyut manakala ketul-ketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali.

Pekan Kuala Kubu menjadi kawasan ketiga terbesar di Selangor pada era 1890-an.

Pekan Kuala Kubu menjadi kawasan ketiga terbesar di Selangor pada era 1890-an.

“Begitulah teknologi orang Melayu pada zaman itu, menjadikan bijih timah sebagai eksport utama Kuala Selangor,” kata Presiden Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Perkubu), Ridzuan Idris kepada Majoriti.

Ridzuan yang juga anak Kuala Kubu Bharu menjelaskan, Kuala Kubu mengalami beberapa fasa. Antaranya termasuklah Perang Saudara Selangor sekitar 1870-an, disusuli zaman pentadbiran British dan tragedi Ampang Pecah (kini menjadi nama tempat) iaitu empangan yang berusia 100 tahun pecah.

Tragedi

“Tragedi itu sedikit pun tidak melemahkan semangat Inggeris untuk membangunkan bandar Kuala Kubu. Malah, mereka menjadikan Kuala Kubu sebagai pusat pentadbiran Hulu Selangor lengkap dengan pejabat daerah, hospital dan rumah-rumah pegawai.

“Pada 1890-an, jalan kereta api juga rancak dibina dengan Kuala Kubu pada waktu itu menjadi bandar ketiga terbesar di Selangor. Ia juga menjadi pintu masuk utama ke Pahang apabila laluan kecil ke Raub siap diperbaiki,” katanya.

Ridzuan

Presiden Persatuan Sejarah Kuala Kubu, Ridzuan Idris

Namun, aktiviti perlombongan bijih timah yang sangat intensif di hulu Sungai Selangor seperti di Sangkar Dua dan Peretak telah membawa padah apabila hakisan tanah yang teruk berlaku hingga mengakibatkan pasir dan lumpur turun hanyut meliputi bandar Kuala Kubu setiap kali banjir besar berlaku.

“Antara 1900 sehingga 1931 berlaku beberapa banjir besar yang bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, tetapi menenggelamkan sebahagian bandar Kuala Kubu dengan timbunan lumpur dan pasir.

“Inggeris kemudian merancang membangunkan bandar Kuala Kubu yang baharu menggunakan khidmat arkitek dari New Zealand, Charles Compton Reade. Selepas 1931, ia diberi nama Kuala Kubu Bharu dan menjadi bandar kecil kolonial yang unik berkonsepkan bandar dalam taman,” katanya.

Pada 1890-an, jalan kereta api juga rancak dibina di Kuala Kubu.

Pada 1890-an, jalan kereta api juga rancak dibina di Kuala Kubu.

Rehman Rashid

Bekas wartawan, Allahyarham Rehman Rashid dianggap individu yang senama dengan Kuala Kubu Bharu. Beliau ‘mengabadikan’ dirinya dengan menetap di pekan kecil itu sendirian hampir 25 tahun. Meninggal dunia pada usia 61 tahun, jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kubu Bharu Road pada Jun 2017.

Ridzuan berkata, walaupun Rehman bukanlah anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, namun Allahyarham meninggalkan peninggalan berharga buat warga pekan kecil itu menerusi sumbangannya terhadap golongan kurang berkemampuan.

“Selepas beliau meninggal dunia, kami menganjurkan program Remembering Rehman khas untuk penduduk Kuala Kubu Bharu yang pernah beliau bantu sepanjang hayatnya.

Small Town book author, Rehman Rashid during the book launch at Kuala Kubu Baru. AZMAN GHANI / The Star

Arwah Rehman pada majlis pelancaran bukunya yang bertajuk, Small Town.

“Arwah membantu dengan menyalurkan makanan kepada golongan miskin, anak yatim dan menjadi tenaga bahasa Inggeris kepada penduduk di sini,” ujarnya Rehman gemar berbasikal di kawasan berkenaan.

Kecintaan Rehman terhadap Kuala Kubu Bharu juga menyaksikan beliau menghasilkan buku bertajuk, Small Town yang berkait rapat dengan sejarah Kuala Kubu.

“Bukunya sangat hebat, terlalu klasik dan menjadi antara buku yang dicari ramai. Selain Small Town, arwah juga menulis dua buku lagi iaitu A Malaysian Journey dan Peninsular A Story of Malaysia yang juga dihasilkan di Kuala Kubu Bharu,” katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram