SEBUAH pesawat Boeing 777 membawa lebih 200 penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas salah satu tayarnya tercabut dan terjatuh di kawasan parkir Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Berdasarkan rakaman tular di media sosial sejak Jumaat, tayar pesawat United Airlines itu tertanggal beberapa saat selepas berlepas dari lokasi kejadian.
Tayar tersebut kemudiannya melantun ke kawasan parkir sekali gus menyebabkan beberapa buah kereta milik pekerja lapangan terbang mengalami kerosakan.
BACA LAGI : Dua korban nahas pesawat terhempas di Kapar asal Johor, Pulau Pinang
Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa serta kawasan parkir ditutup sementara untuk kerja-kerja pembersihan.
Menurut United Airlines, terdapat seramai 249 orang berada di dalam pesawat berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Osaka, Jepun.
“Kami berterima kasih kepada juruterbang dan pramugari kami atas profesionalisme mereka dalam menguruskan situasi ini.
"Kami juga berterima kasih kepada pasukan kami di lapangan terbang yang menunggu untuk memindahkan pesawat sejurus ia mendarat dan membantu penumpang semasa mendarat," katanya.
BACA LAGI : Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda
Sebuah kereta rosak akibat tayar pesawat yang jatuh di atasnya.
Katanya, penerbangan itu dilencongkan ke Los Angeles, AS dan mendarat dengan selamat, manakala penumpang dijangka meneruskan perjalanan pada hari yang sama.
Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat Boeing 777 mempunyai enam roda pada setiap sangga pendaratan utamanya, dan ia direka khas untuk mendarat dengan selamat jika terdapat suatu yang hilang atau rosak.
Pada masa sama, tiada individu dilaporkan cedera serius dalam insiden berkenaan.
Pihak pengawal selia Amerika Syarikat (AS) sebelum ini juga memberi tempoh 90 hari kepada syarikat pesawat untuk mengemukakan pelan bagi menangani isu kualiti kawalan keselamatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram