
LEBIH 10 tahun tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, namun ia kekal menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Isteri pramugara MH370 iaitu Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, Intan Maizura Othman berkata, keluarga dan waris masih tertanya-tanya dan inginkan jawapan misteri kehilangan pesawat terbabit.
Pada masa sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha pencarian pesawat yang hilang itu.
Anthony menjelaskan kerajaan akan terus berusaha dalam misi pencarian MH370. — The Star
Beliau berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan Kabinet untuk menandatangani kontrak dengan Ocean Infinity bagi memulakan semula operasi pencarian.
“Kementerian Pengangkutan sedia menjemput Ocean Infinity ke Malaysia bagi membincangkan cadangan no find, no fee,” katanya ketika Majlis Peringatan Ke-10 MH370.
“Sebagai Menteri yang mewakili Kerajaan Malaysia berada di majlis ini pada Ahad, ia bukan sekadar menyatakan solidariti kami, tetapi ia adalah satu komitmen dan janji bahawa pencarian akan diteruskan.
“Saya berdiri di hadapan anda dan berjanji bahawa saya akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kelulusan Kabinet untuk menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk pencarian disambung semula secepat mungkin.
"Saya gembira kerana terdapat sedikit kemajuan dalam beberapa penyelidikan dan teknologi baharu yang telah dibentangkan dan kami berharap, pencarian itu dapat menemui pesawat itu dan memberi kebenaran kepada waris," tambahnya.
Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 merupakan insiden tragis yang berlaku pada 8 Mac 2014.
Penerbangan Boeing 777-200ER ketika itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital di China.
Bagaimanapun, ia hilang daripada skrin radar kurang sejam selepas berlepas.
MH370 yang membawa seramai 239 orang termasuk 227 penumpang serta 12 anak kapal. — The Star/KHOO GEK SAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram