RAKYAT Korea Selatan pernah digemparkan dengan kisah memilukan yang dikenali sebagai tragedi Feri Sewol.
Pada 16 April 2014, feri yang membawa muatan lebih 400 penumpang termasuk pelajar Sekolah Menengah di Ansan, Korea Selatan telah karam di tengah-tengah lautan.
Ketika itu, feri tersebut dalam perjalanan dari Incheon menuju ke lokasi tarikan pelancong iaiti Pulau Jeju, Korea Selatan.
BACA LAGI : Warga emas 75 tahun maut, feri 2 tingkat karam di Bahamas
Feri Sewol yang terbalik sehingga mengorbankan banyak nyawa. — Agensi
Kejadian itu juga sekali gus mengejutkan semua masyarakat di seluruh dunia.
Berdasarkan laporan The New York Times, tragedi itu berpunca akibat kecuaian pengawal selia yang tidak bertanggungjawab membenarkan kapal itu untuk berlayar walaupun keadaan tidak selamat.
Ada juga dakwaan mengatakan bahawa feri berkenaan membawa muatan melebihi had serta tidak dapat menampung beban terlalu banyak.
Feri itu dilaporkan membuat belokan tajam sambil melawan arus deras sebelum terbalik kerana tiada keseimbangan.
Dalam pada itu, beberapa pelajar sekolah yang berada dalam feri tersebut sempat merakam detik-detik terakhir sebelum mereka dilaporkan lemas kerana terperangkap di dalam feri.
BACA LAGI : Hampir 80 tahun karam, bangkai kapal perang AS dikesan sedalam 7,000 meter di Filipina
Dalam video tersebut, beberapa pelajar dilihat berpaut sesama sendiri di satu sudut dalam keadaan panik.
Kedengaran juga suara-suara tangisan ketakutan kerana keadaan feri yang sudah senget dan separuh bahagiannya di dalam permukaan air.
Video menyentuh hati ramai itu turut tular dan mendapat reaksi pelbagai pihak.
Tragedi yang meragut nyawa lebih 300 orang itu turut menerima pelbagai kecaman hebat daripada rakyat negara itu susulan tindakan Presiden Korea Selatan, Park Geun Hye yang tidak muncul selama kira-kira tujuh jam selepas kejadian dilaporkan.
Bukan itu sahaja, orang ramai meluahkan rasa kesalnya kerana keadaan dikatakan dikendalikan dengan sangat teruk.
Antara pelajar yang terkorban dalam tragedi ngeri itu. — Agensi
Ia disebabkan tindakan kapten feri ketika itu yang mengarahkan penumpang termasuk pelajar terbabit duduk di tempat masing-masing sebelum kapal karam sepenuhnya.
Lebih membangkitkan kemarahan apabila kapten tersebut sempat melarikan diri terlebih dahulu dan membiarkan para penumpang terperangkap begitu sahaja.
Kapten dan anak kapalnya kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan dan kecuaian tersebut.
Meskipun sudah lebih 10 tahun berlalu, kes tersebut dikatakan masih segar dan tidak pernah dilupakan terutamanya dalam kalangan masyarakat di negara itu.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram