Hampir 80 tahun karam, bangkai kapal perang AS dikesan sedalam 7,000 meter di Filipina


  • Benua
  • Isnin, 27 Jun 2022

Bangkai kapal karam yang ditemui di dasar lautan Filipina.

SEBUAH kapal pemusnah tentera Amerika Syarikat (AS) yang karam semasa Perang dunia kedua ditemui pada kedudukan hampir 7,000 meter (m) di bawah paras laut Filipina.

Pasukan penerokaan AS mengesahkan penemuan itu lantas menjadikannya sebagai bangkai kapal karam paling dalam di dunia pernah ditemui.

Kapal perang USS Samuel B. Roberts atau Sammy B dipercayai tewas semasa pertempuran di Pulau Samar pada 25 Oktober 1944 ketika tentera AS berjuang untuk membebaskan Filipina daripada pendudukan Jepun.

Sebuah kapal selam berkru dirakam mengambil gambar dan meninjau bangkai kapal Sammy B dihantar oleh syarikat teknologi dasar laut yang berpangkalan di Texas, Caladan Oceanic.

Imej menunjukkan pelancar torpedo tiga tiub kapal dan pelekap senapang.

philippines-shipwreck

Keadaan gambar perang AS yang ditemui karam di dasar lautan Filipina pada kedalaman 6,895 meter di bawah dasar laut. — Agensi

"Berada pada kedudukan 6,895 m merupakan kapal karam paling dalam pernah ditemui dan ditinjau. Kapal tersebut berusaha sehabis baik untuk melawan tentera Jepun, namun akhirnya begini nasib mereka," kongsi Pengasas Caladan Oceanic, Victor Vescovo di Twitter.

Menurut rekod Tentera Laut AS, anak kapal Sammy B terapung selama hampir tiga hari sementara menunggu penyelamat. Seramai 89 daripada 224 kru meninggal dunia.

Sammy B adalah salah satu daripada empat kapal AS yang karam dalam pertempuran pada 25 Oktober itu.

Terdahulu kapal USS Johnston yang berada pada kedalaman 6,500 m sebelum ini merupakan kapal karam paling dalam pernah ditemui oleh pasukan Vescovo pada 2021.

Untuk rekod bangkai kapal Titanic berada sekitar kedalaman 4,000 m di bawah paras laut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram