TULAR video satu insiden maut seorang lelaki disambar petir ketika sedang bermain bola sepak di Stadium Siliwangi, Bandung, Indonesia pada Sabtu.
Dalam insiden tersebut, mangsa berusia 30 tahun itu sedang berada di tengah-tengah padang stadium berkenaan yang pernah menjadi gelanggang keramat kelab bola sepak utama Indonesia, Persib Bandung.
Menerusi audio dalam klip tersebut, seorang individu didengar memaklumkan bahawa kejadian terbabit berlaku ketika cuaca masih belum hujan.
Seorang saksi ditemu bual media tempatan dan hanya mahu dikenali sebagai G menyatakan peristiwa itu berlaku ketika berlangsungnya satu perlawanan persahabatan bola sepak sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal berbasikal, budak lelaki maut digilis lori di Telok Gong
Menurutnya, semasa terjadinya sambaran petir itu, keadaan cuaca di sekitar venue berkenaan masih cerah.
Bagaimanapun, dia berkata, keadaan langit sedikit mendung mula dilihat tidak jauh dari lokasi stadium.
Ujarnya, kejadian sambaran petir pertama berlaku ketika perlawanan sudah berlangsung selama 15 minit.
Namun, pada waktu itu, ia tidak menyambar ke arah padang sebaliknya hanya mengenai alat perangkap kilat.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah
Selepas didapati tidak sedarkan diri, pemain lain segera mengangkat mangsa ke tepi padang. — Agensi
Menurut G, sambaran petir kedua yang berlaku beberapa saat seterusnya membuatkan pemain kedua-kedua pasukan terkejut dengan ramai antara mereka terus meniarap di atas padang.
"Selepas petir itu, semua langsung tiarap, termasuk mangsa yang terkorban. Lepas itu, semua melarikan diri mencari tempat berlindung, tapi mangsa masih tak bangun-bangun," ujarna.
Lelaki berkenaan yang sudah tidak sedarkan diri akibat kejadian itu seterusnya dibawa pemain lain ke tepi padang.
G berkata, mangsa dilihat mengalami luka hitam kemerahan di bahagian dada manaka but yang dipakainya juga didapati terbakar.
"Selepas dibawa ke hospital, saya dah tak ikut. Kemudian saya dapat berita bahawa mangsa sudah meninggal dunia," ujar G. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram