[VIDEO] Setahun sudah berlalu tragedi helikopter terhempas akibat terlanggar kabel di AS


  • Benua
  • Khamis, 04 Jan 2024

Tangkap layar video kemalangan helikopter terhempas di atas jambatan di Louisiana, AS, pada Disember 2021.

APABILA berlakunya kemalangan melibatkan helikopter terhempas, ia kebiasaannya pasti akan turut melibatkan berita kehilangan nyawa penumpang yang menaiki pesawat udara ringan tersebut.

Ini kerana sama seperti pesawat penumpang, risiko kematian dalam insiden kemalangan helikopter adalah sangat tinggi.

Ia lebih-lebih lagi sekiranya insiden terbabit melibatkan kejadian berpunca daripada masalah teknikal atau luaran yang berlaku secara tiba-tiba sehingga menyukarkan juruterbang bagi menyelamatkan situasi.

Pada Disember 2021, Amerika Syarikat (AS) dikejutkan dengan tragedi helikopter terhempas di atas sebuah jambatan di negeri Louisiana selepas terlanggar wayar elektrik setinggi 40 meter(m).

Insiden mengejutkan itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka kereta yang berada di lokasi ketika kemalangan tersebut.

Berdasarkan klip rakaman berkenaan, beberapa bahagian utama helikopter terbabit termasuk bilah kipasnya dilihat terputus daripada badan pesawat udara terbabit dan jatuh ke dalam Tasik Pontchartrain,

Badan pesawat ringan itu juga kemudiannya terbakar selepas terhempas di atas jambatan berkenaan.

Juruterbangnya yang dikenali sebagai Joshua Hawley, yang juga bapa kepada tiga anak meninggal dunia dalam nahas itu merupakan satu-satunya individu yang berada di atas helikopter tersebut ketika kejadian.

Joshua bekerja sebagai juruterbang dan Pengurus Armada dan Teknologi untuk Kumpulan Five-S, sebuah syarikat pembinaan di Baton Rouge, Louisiana.

Kemalangan terbabit bagaimanapun tidak mencederakan mana-mana pengguna jalan raya yang berada di atas jambatan itu ketika insiden.

Laporan awal siasatan dikeluarkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mendapati kemalangan melibatkan helikopter jenis Bell 407 itu berlaku ketika kabus tebal melanda kawasan berkenaan.

Situasi itu menyebakkan juruterbang terbabit tidak dapat melihat dengan jelas wayar jana kuasa yang berada di atas jambatan tersebut.

"Berdasarkan pandangan dari sudut atas ke bawah, terdapat kabus yang sangat tebal dari semua kawasan dengan keberadaan awan yang tinggi di kawasan tersebut," ujar laporan berkenaan.

Semasa kejadian, helikopter itu berlepas sedang dalam perjalanan dari Gonzales dan ke Lapangan Terbang New Orleans Lakefront, Louisiana.

Kemalangan terbabit turut menyebabkan kerosakan pada kemudahan elektrik di Entergy Louisiana, menyebabkan insiden terputus bekalan tenaga elektrik yang menjejaskan seramai 20,000 pengguna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram