[VIDEO] Rakaman tular 'live' FB detik akhir pesawat terhempas ragut 70 nyawa berlaku Januari lalu


  • Benua
  • Rabu, 13 Dis 2023

Tangkap layar memaparkan video siaran langsung Facebook dibuat lelaki tersebut yang bermula beberapa saat sebelum pesawat tersebut terhempas.

TULAR satu video di media sosial pada Rabu memaparkan rakaman saat-saat akhir penumpang di dalam sebuah pesawat sebelum ia terhempas.

Melalui klip yang dimuat naik oleh laman X (dahulu dikenali Twitter), @INSANECLIPS26, seorang penumpang lelaki dilihat sedang melakukan siaran langsung di Facebooknya.

Dalam video tersebut, dia juga merakam reaksi beberapa orang rakannya yang didapati turut teruja ketika menaiki penerbangan berkenaan sambil mengambil pemandangan luar dari tingkap pesawat di sebelahnya.

Namun, tidak sampai beberapa saat kemudian, rakaman tersebut kemudiannya terganggu dipercayai akibat daripada masalah yang berlaku terhadap pesawat.

Pada masa sama, rakaman video itu yang terus bersiaran turut merakam suara dentuman kuat dan bunyi penumpang yang menjerit kecemasan.

Klip berkenaan turut merakam imej dipercayai merekodkan kebakaran yang berlaku terhadap pesawat berkenaan.

Hasil semakan Majoriti, kejadian dalam video tersebut berlaku pada 15 Januari lalu dan ditularkan semula di beberapa platform sosial media sejak Rabu.

Menurut laporan media, lelaki yang merakam video tersebut merupakan warga India yang dikenali sebagai Sonu Jaiswal.

Sonu ialah salah seorang daripada 70 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Yeti Airlines yang ketika kejadian sedang cuba untuk melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Pokhara di Nepal.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 6.26.19 PM

Kejadian pesawat terhempas melibatkan Yeti Airlines pada 15 Januari lalu mengorbankan kesemua 70 penumpang yang berada dalam penerbangan terbabit. — Agensi

Insiden tersebut dilaporkan mengorbankan seramai 15 warga asing terdiri daripada lima warga India, empat rakyat Russia, dua warga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Perancis serta Argentina.

Sementara itu, saksi kejadian memaklumkan pesawat berkenaan dilihat berpusing di udara sebelum terhempas ke dalam gaung.

Dilaporkan, sebahagian rangka bangkai pesawat itu berada di lereng bukit, manakala selebihnya terhempas ke dalam gaung di Sungai Seti.

Berdasarkan perkembangan terkini pada Februari lalu, laporan awal Suruhanjaya Penyiasatan Kemalangan Pesawat Nepal mendapati nahas tersebut berkemungkinan berpunca daripada kesilapan juruterbang ketika proses pendaratatan.

Laporan itu mendapati bahawa semasa proses penurunan, salah seorang juruterbang telah memilih tuil yang salah, dan meletakkan sayap pada kedudukan menaik.

Difahamkan, salah seorang juruterbang terlibat sedang dalam proses pengenalan aerodrome untuk beroperasi di Lapangan Terbang Pokhara manakala seorang lagi kapten lain merupakan juruterbang pengajar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram