POLIS Thailand menahan seorang warga Kanada di Lapangan Terbang Chiang Mai pada Rabu selepas lelaki tersebut cuba untuk membuka pintu pesawat ketika proses pelepasan.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku selepas lelaki berusia 40 tahun itu berada dalam keadaan panik kerana percaya dirinya sedang diekori oleh kumpulan kongsi gelap dari Vietnam.
Semasa disoal siasat, Wong Sai Heung yang merupakan seorang jurutera komputer memberitahu polis dan media bahawa dirinya sedang dalam bahaya dan sedang dikejar oleh kumpulan gengster terbabit.
Lelaki itu berkata, dia juga percaya kumpulan kongsi gelap itu sudah berjaya mengesannya dan merancang untuk menembaknya ketika pesawat berada di landasan pelepasan.
Ujarnya, kumpulan kongsi gelap terbabit turut didakwa mungkin merancang untuk memusnahkan pesawat itu, sekali gus menjadi punca menyebabkan terpaksa turun daripada kapal berkenaan untuk keselamatannya.
Kejadian tersebut berlaku pada Rabu lalu menyebabkan pesawat Thai Airways yang sepatutnya melakukan perjalanan dari Chiang Mai ke Bangkok gagal untuk berlepas.
Menurut laporan ThaiRath, insiden itu turut menjejaskan operasi sebanyak 13 penerbangan yang terdiri daripada 2,296 penumpang.
BACA LAGI: Cuma selisih 1-2 cm, warga Sentul bosan sedekad hadap 'double park' sesuka hati
Tangkap layar video penumpang pesawat tersebut merakamkan detik lelaki terbabit ditahan oleh pihak berkuasa. — Agensi
Menurut MGR Online, Sai Heung memasuki Thailand pada 3 Februari lalu bagi melawat wilayah Chiang Mai.
Laporan perubatan kemudiannya mendapati lelaki itu bukan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Bagaimanapun, butiran mengenai kesihatan mentalnya tidak didedahkan.
Sai Heung ketika ini sedang didakwa bagi dua kesalahan melanggar atau gagal mematuhi peraturan di lapangan terbang dan melakukan tindakan membahayakan penumpang lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram