[VIDEO] Pemandu 4x4 bagi alasan tak nampak punca murid maut depan sekolah di Thailand


  • Benua
  • Rabu, 07 Feb 2024

Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan kemalangan tragis mengorbakan seorang murid sekolah di Thailand pada 5 Februari lalu.

SEORANG murid lelaki tujuh tahun maut apabila tersadung jatuh ketika melintas jalan di dalam pekarangan sekolah sebelum digilis oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kemalangan tragis itu berlaku betul-betul di hadapan pagar Sekolah Pathum Wittayakorn di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand pada 5 Februari lalu ketika waktu tamat persekolahan.

Ketika kejadian, kawasan pekarangan sekolah terbabit sedang sibuk dengan ibu bapa dilihat mengambil anak-anak mereka untuk pulang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa yang kemudiannya dikenali sebagai Gun berlari dari arah tempat letak kereta untuk melintas jalan di depan pintu pagar sekolah.

Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu tidak bernasib baik selepas dia didapati tersadung betul-betul di tengah jalan sehingga menyebabkannya dilanggar oleh sebuah trak pikal yang sedang melalui jalan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing ada rekod jenayah ganggu wanita di Bukit Bintang kena pijak 'berjemaah'

BACA LAGI: Warga asing lunyai dipukul, dihentak 3 lelaki di Ipoh, Perak

Pemandu kenderaan terbabit yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun, memberitahu ThaiRath bahawa dia membelok memasuki pekarangan sekolah dari jalan utama kelajuan yang sangat rendah.

Ujarnya, kehadiran kanak-kanak itu tidak disedarinya kerana ketinggian keretanya.

Lelaki terbabit berkata, dia hanya menyedari sudah melanggar mangsa apabila merasakan tayar hadapan kenderaannya bergegar sebelum kereta lain bertindak membunyikan hon ke arahnya.

Kemalangan maut itu mencetuskan perdebatan di media sosial mengenai langkah keselamatan yang diambil sekolah terbabit.

Rata-rata warganet bersetuju pihak sekolah tidak seharusnya membenarkan kenderaan masuk ke pekarangan sekolah demi keselamatan murid.

Dalam pada itu, pengarah sekolah terbabit, Wat Wongkhamphan memaklumkan pihaknya akan memberi pampasan terhadap keluarga mangsa dan meningkatkan langkah keselamatan bagi mengelak kemalangan serupa.

Pihak sekolah turut mengenakan larangan terhadap semua kenderaan daripada memasuki pekarangannya.

Pada masa sama, ThaiRath melaporkan ramai pelajar sekolah terbabit mengelak memasuki sekolah di pintu masuk berkenaan kerana masih terkejut dan takut dengan kemalangan yang berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram