Bahana mabuk, isteri maut dibakar suami di Sabah


  • 112
  • Isnin, 05 Feb 2024

Rumah mangsa yang turut musnah selepas suspek dikatakan membakar isterinya di Kampung Tinagalan, Sook, Keningau, Sabtu lalu. — PDRM

SEORANG wanita maut selepas dibakar suaminya sendiri di Kampung Tinagalan, Sook dekat Keningau, Sabah pada Ahad.

Mangsa yang berumur 41 tahun meninggal dunia selepas 16 jam menerima rawatan di Hospital Keningau.

Kejadian dikatakan berpunca daripada pertengkaran antara mereka ketika minum minuman keras jenis tapai (minuman yang diperbuat daripada beras) di rumah mereka pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut di antara pasangan berusia 50 dan 41 tahun itu dalam keadaan mabuk.

"Keadaan menjadi luar kawalan apabila mangsa mencabar suspek untuk membakarnya selepas diugut suaminya.

"Suspek kemudiannya menyimbah isterinya dengan petrol sebelum menyalakan mancis.

"Dia kemudian terus mencampak mancis berkenaan kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Seorang lagi tahanan warga asing lolos depot Bidor maut kemalangan dekat Tapah

Tambah Yampil lagi, anak perempuan pasangan tersebut yang berusia 16 tahun menyedari kejadian berkenaan membawa dua adiknya keluar rumah menyelamatkan diri.

"Selepas menyelamatkan adiknya, remaja berkenaan turut membantu memadamkan api di badan ibunya sebelum cuba mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya.

BACA LAGI: Jemput 'Hot Daddy Ash' jadi tetamu jemputan podcast, ibu bapa kesal suspek pengedar pornografi dijadikan idola

Katanya, suspek kemudian membawa mangsa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Keningau bagi rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal pada 1.41 tengah hari, Ahad lalu," katanya.

Katanya, suami mangsa sudah direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan keputusan dadahnya juga negatif," jelas beliau lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram