SIAPA sahaja yang tidak bengang jika mengetahui dirinya kena prank?
Begitulah yang dirasakan oleh Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan saat beliau dijadikan bahan gurauan dalam sebuah program.
Aksi aktor itu tular setelah dirakam dalam sebuah video rancangan prank dihoskan oleh pelawak Mesir, Ramez Galal di padang pasir Dubai.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada 2017, namun video tersebut ditularkan semula di media sosial pada Ahad dan kembali menjadi topik perbualan warga maya.
Menerusi klip video berdurasi seminit 12 saat itu, Shah Rukh Khan bersama beberapa kru dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, situasi menjadi mendebarkan apabila kenderaan tersebut tiba-tiba tenggelam di kawasan pasir jerlus sebelum mereka dihampiri biawak komodo gergasi.
BACA LAGI: Kontroversi bukan penghalang, Shah Rukh Khan terus bergelar Raja Bollywood
Dua daripada kru itu lemas, namun Shah Rukh Khan bersama seorang wanita dilihat cuba menyelamatkan diri masing-masing sambil berteriak meminta tolong.
Tidak lama kemudian, Ramez yang bersembunyi di sebalik kostum berkenaan tampil mendedahkan diri sebenar dan memaklumkan bahawa ia hanyalah satu prank.
Gurauan itu bagaimanapun tidak diterima dengan senang hati oleh pelakon Bollywood berusia 59 tahun itu, malah dia hampir sahaja ingin menumbuk wajah pengacara rancangan Ramez Underground tersebut.
"Ini semua mengarut! Kamu ingat saya datang jauh dari India untuk perkara ini?" marah pelakon filem Kuch Kuch Hota Hai itu.
Ramez dilihat tidak henti-henti memohon maaf daripada Shah Rukh sambil menyanyikan lagu Marjani Marjani (filem Billu).
Bagaimanapun, menurut pengurus Shah Rukh, Pooja Dadlani, beliau dibayar sebanyak RM1.7 juta untuk melakonkan aksi marah itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram