Selain bergelar kaki pancing, Ameng Spring akui ada sebab suka tonton cerita Tamil


  • Hobi
  • Selasa, 04 Apr 2023

Penyanyi terkenal, Ameng Spring berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri muzik tanah air. —Instagram/amengspringofficial

TERKENAL dengan personaliti yang menarik dan suara yang cukup lunak, namanya tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air sudah pasti dikenali ramai.

Vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail berkecimpung dalam bidang nyanyian lebih 30 tahun sering mendapat perhatian para media serta peminat tempatan.

Penyanyi terkenal itu yang lebih dikenali sebagai Ameng Spring masih membawa genre rock kapak dan tampil berambut panjang paras leher sering tampil di kaca televisyen.

Antara lagu yang popular kumpulan Spring ialah Bourgenvilla, Butakah Cinta, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta dan Sepi Tanpa Cinta.

Siapa sangka, walaupun sibuk dengan pekerjaan tetapi masih mempunyai masa untuk diluangkan bersama ahli keluarga untuk melakukan aktiviti berfaedah.

WhatsApp Image 2023-04-03 at 15.09.46 (1)

Walaupun sibuk bekerja, Ameng tidak lupa meluangkan masa bersama keluarga. Instagram/amengspringofficial

Namun begitu, walaupun penampilan luaran seorang yang rock tetapi ramai tidak mengetahui bahawa Ameng mempunyai minat menonton filem Tamil.

"Kalau saya mempunyai masa lapang, saya akan lebih memilih untuk menonton filem Tamil, kalau boleh tiap-tiap hari mahu tengok cerita tersebut.

"Bagi cerita Bollywood, bergantung kepada pelakon contohnya, Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Kajol saya akan tengok," kongsinya.

Ameng turut mengatakan antara sebab meminati filem Tamil itu ialah penceritaan yang dibawa adalah kisah benar daripada segelintir golongan masyarakat. Walaupun sudah pasti mengetahui tentang pembawaan watak yang kadang kala tidak masuk akal dalam sesebuah filem tersebut.

"Bagi saya, saya minat kerana cerita Tamil ini menceritakan tentang masyarakat yang mana penduduk kampung hidup dalam kesusahan, orang bela kambing atau lembu boleh pun bergaduh. Mungkin nampak macam perkara remeh tetapi itulah yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat sekarang.

"Biasanya, cerita Tamil ini mempunyai banyak kisah, bukan sahaja tertumpu kepada hero atau heroin tetapi pelakon tambahan itu pun mempunyai cerita yang berkaitan dengan keseluruhan filem itu.

"Tanpa kita sedar, filem Tamil adalah satu-satunya jalan cerita berdasarkan kisah benar di negara India atau mungkin di negara kita sendiri cuma tidak disedari," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu,anak jati kelahiran Besut, Terengganu, itu juga menceritakan tentang ayahnya seorang yang minat memancing dan dia sendiri adalah peneman ketika usia masih kanak-kanak.

"Ayah saya akan membawa saya memancing sebab dia seorang yang minat aktiviti itu, macam orang cakap, penduduk Terengganu dengan memancing tidak dapat dipisahkan kerana berdekatan dengan kawasan kolam dan laut," kata penyanyi berusia 55 tahun itu.

Kaki pancing

Selain itu, vokalis kumpulan Spring itu juga menceritakan pengalaman semasa memancing yang tidak pernah dia lupakan apabila memperolehi seekor ikan dengan berat 12 kilogram (kg) ketika memancing salah satu kolam di Klang, Selangor.

"Saya pernah dapat seekor ikan 12kg di kolam memancing dan berkongsi ikan tersebut dengan dengan jiran-jiran .

"Tapi kesukaran untuk naikkan ikan itu ke darat, perlu empat jam dan ia merupakan ikan yang terbesar saya pernah dapat," katanya.

Selain itu, Ameng juga berkata, dia tidak menyukai aktiviti ekstrem yang memenatkan dan lebih memilih untuk pergi mengembara atau melancong tanpa sebarang perancangan.

"Saya suka melancong, jalan-jalan tempat yang jauh sambil bawa kereta dengan keluarga dan selalunya tidak dirancang dan paling jauh pun dari Terengganu ke Thailand dan Singapura," kongsinya.

Tambahan pula, walaupun bergelar sebagai anak seni tetapi aktiviti luar juga perlu dilakukan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram