MAKAN malam keluarga seorang personaliti TV di Amerika Syarikat bertukar menjadi detik cemas yang menakutkan apabila anak lelakinya yang berusia dua tahun hampir maut selepas tercekik pasta.
Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu dikongsikan sendiri oleh Mike Sorrentino yang memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden tersebut di laman Instagramnya pada Sabtu.
Dalam kejadian pada Khamis lalu itu, Mike dan isterinya, Lauren masing-masing dilihat sedang menjamu selera bersama dua anaknya iaitu Romeo, 2, dan Bella Mia, 1.
Bagaimanapun, Romeo didapati kemudiannya secara tiba-tiba bergelut dan sukar untuk bernafas.
BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan pantas penjaga kedai bantu 'gamer' lepas tercekik kerepek kentang
BACA LAGI: [Video] Tercekik di meja makan, keluarga mangsa tergamam, mujur pelayan bertindak pantas
Ekoran daripada itu, Mike, 41, dan Lauren, 39, segera bertindak untuk mengenal pasti punca menyebabkan situasi berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan cebisan makanan daripada mulut anaknya itu.
“Saat paling seram dalam hidup kami. Ia adalah makan malam yang biasa sebelum situasi tiba-tiba berubah Romeo dilihat tercekik pasta kegemarannya.
"Dia pada awalnya cuba membongkok namun masih gagal untuk bernafas,” tulis Sorrentino dalam hantaran tersebut.
Mike (kiri) bersama isteri dan dua orang anaknya. — Agensi
Ketika kejadian, Mike berkata, dia dan isterinya cuba untuk bertenang dan melakukan yang diketahui.
"Saya cukup berbangga dengan bagaimana kami cuba menangani detik cemas ini sebelum akhirnya berjaya mengeluarkan makanan yang menghalang saluran pernafasan dan menyelamatkan nyawa anak kami," ujarnya.
Ekoran daripada kejadian tersebut, Mike berkata, dia bercadang untuk mengambil kelas bantuan kecemasan memberikan CPR atau Cardiopulmonary Resuscitation. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram