Sampah penuh di lebuh raya Pantai Timur sebelum Aidilfitri, rakyat cadang kempen tangkap gambar kereta 'si pengotor'


  • Massa
  • Isnin, 17 Apr 2023

Keadaan di beberapa tempat di lebuh raya CSR yang sudah mula dipenuhi sampah pada Sabtu lalu. — Twitter

BELUM pun sampai waktu kemuncak orang ramai pulang berhari raya pada tahun ini, isu pembuangan sampah di Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) yang menjadi laluan utama ke Pantai Timur kembali muncul.

Kali ini, individu yang tampil membangkitkan mengenai masalah yang sering timbul setiap kali tiba musim perayaan adalah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu lalu, iaitu lebih kurang seminggu sebelum umat Islam di negara ini menyambut hari lebaran, beliau berkongsikan mengenai keadaan sampah bertaburan di sepanjang laluan lebuh raya berkenaan.

"Saya faham ramai pengguna jalan raya nak pulang ke Pantai Timur menggunakan laluan ini. Ada yang nak berehat sebab perjalanan jauh.. Namun inilah pemandangan yang dapat saya lihat tiap tahun. Ini gambar terbaru yang diambil," katanya.

Menurut Abdul Rahman, situasi itu amat mengecewakan kerana ia menunjukkan tiada rasa tanggungjawab dalam kalangan pengguna lebuh raya berkenaan untuk menjaga kebersihan di kemudahan yang disediakan.

lebuh raya

Keadaan kawasan di tepi lebuh raya CSR yang sudah dibersihkan pada Sabtu lalu. — Twitter

"Ini ke sikap yang kita pupuk dalam diri anak-anak kita? Jaga kebersihan bermula daripada diri kita.. didikan ibu bapa dan bermula dari rumah.

"Di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi sebagai orang Islam, menjaga kebersihan ni adalah tanggungjawab bersama seperti dalam Surah al-Qasas ayat 77 supaya tidak melakukan kerosakan di muka bumi ini," ujarnya.

Sementara itu, beberapa pengguna turut memberikan reaksi terhadap situasi yang berlaku itu.

"Ia adalah isu mentaliti. Bukan di sini sahaja, tapi di seluruh Malaysia. Banding dengan Jepun, kita tertinggal berdekad-dekad," ujar FPL Zh0u.

"Alasan takde tong sampah, takde kawasan rehat tak valid langsung. Simpan lah dalam kenderaan masing-masing. Buang bila sampai destinasi. Susah sangat ke?," soal Running Bob.

"Mentaliti segelintir rakyat Malaysia masih tak berubah. Kesian kat pekerja yang kena bersihkan satu hal. Belum kira monyet tersarung plastik pau kat kepala. Binatang liar lain tercekik plastik coklat sebab ingat makanan," tulis Little Miss Sai.

Dalam pada itu, ada juga yang mencadangkan agar pihak terbabit memperkenalkan inisiatif baharu bagi membendung masalah tersebut daripada terus berlarutan.

"Cuba buat kempen tangkap gambar kereta buang sampah. Sekeping gambar RM100. Macam ada negara luar buat," ujar puspawangi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram