[VIDEO] Tindakan pantas penjaga kedai bantu 'gamer' lepas tercekik kerepek kentang


  • eSports
  • Rabu, 03 Jan 2024

Tangkap layar daripada rakaman CCTV memaparkan lelaki tersebut sedang dalam keadaan tidak selesa akibat tercekik makanan.

SEORANG pelanggan di kafe siber sekitar Moscow, Rusia bernasib baik apabila diselamatkan selepas hampir tercekik ketika sedang menggunakan sebuah komputer pada Disember lalu.

Dalam satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, lelaki tersebut dilihat tidak berada dalam keadaan selesa sebelum lantas berdiri dan menepuk-nepuk dadanya.

Situasi itu segera disedari dua pelanggan wanita di sebelahnya yang segera mencari penyelesaian dengan salah seorang daripada mereka segera mencari bantuan.

Tidak lama selepas itu, seorang lelaki yang merupakan penjaga premis hadir sebelum melakukan teknik 'Heimlich Maneuver' untuk menyelamatkannya.

Selepas tiga percubaan, kelihatan segumpal makanan keluar daripada mulut pelanggan terbabit dengan dia kemudiannya tampak bertenang dan menarik nafas panjang.

Berdasarkan laporan daripada pemilik kedai, penyelamat itu pernah menghadiri kelas bantuan kecemasan yang membolehkan usaha menyelamat lebih mudah.

"Pekerja itu bernama Denis. Kita bernasib baik kerana petugas lain sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang berkenaan.

"Kami sudah berikannya bonus dan saya sungguh bangga kerana mempunyai seseorang dengan kebolehan tersebut. Tetapi, kami juga mahu mengingatkan bahawa makan sambil menggunakan komputer adalah tidak digalakkan," katanya.

Difahamkan, lelaki yang tercekik itu sedang makan kerepek kentang sambil menikmati permainan video Counter Strike: Global Offensive (CS:GO) di kafe siber berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram