SECARA umumnya, Islam menuntut umatnya mengerjakan ibadat sembelih ke atas haiwan sembelihan bagi menghalalkan daging dan anggota binatang tersebut untuk dimakan, selain mempunyai manfaat lain.
Firman ALLAH SWT:
حُرِمت عليكُمُ ٱلميتةُ وٱلدمُ ولحمُ ٱلخِنزِيرِ ومآ أُهِل لِغيرِ ٱللهِ بِهِۦ وٱلمُنخنِقةُ وٱلموقُوذةُ وٱلمُتردِيةُ وٱلنطِيحةُ ومآ أكل ٱلسبُعُ إِلا ما ذكيتُم وما ذُبِح على ٱلنُصُبِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak di sembelih, dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan bintang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari ALLAH dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”. (1)
(Surah Al-Maidah: 3)
Namun terdapat segelintir pihak yang berminat untuk menyimpan beberapa anggota badan haiwan yang disembelihnya, seperti kulit, bulu, lebihan tulang atau tanduk binatang berkenaan sebagai perhiasan tidak kira di rumah atau premis lain.
Menurut artikel dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama feqah menyatakan mana-mana haiwan yang halal dimakan dagingnya di sisi syarak dan melalui proses sembelihan mengikut syarak adalah halal dan suci anggotanya.
Ia berdasarkan firman ALLAH:
ومِن أصوافِها وأوبارِها وأشعارِها أثاثا ومتاعا إِلىٰ حِينٍ
Maksudnya: “Dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.”
(Surah an-Nahl: 80)
Tidak cukup dengan itu, Sheikh khatib al Shirbini menjelaskan mafhum ayat tersebut di dalam karya beliau: (4)
وهُو محمُول على ما إذا أُخِذ بعد التذكِيةِ
Maksudnya: "Ia digunakan (kulit binatang) setelah diambil selepas daripada sembelihan"
(Mughni al-Muhtaj: 1/235)
Tengkorak lembu atau kerbau yang dijadikan sebagai perhiasan mempunyai peminat-peminatnya tersendiri. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, jika tulang atau tanduk haiwan yang halal dimakan dan diambil ketika ia masih hidup, hukumnya adalah tidak suci kerana ia dianggap sebagai bangkai, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Waqid al Laithi: (5)
ما قُطِع مِن البهِيمةِ وهِي حية فهِي ميتة
Maksudnya: “Apa yang dipotong daripada haiwan dan ianya hidup maka ia adalah bangkai”
(Riwayat Abu Daud: 2858)
Sementara itu, artikel berkenaan turut mengulas tentang kenyataan Imam Nawawi berkenaan penggunaan tulang gajah:
قال أصحابنا: ويكره استعماله في الأشياء اليابسة لمباشرة النجاسة ولا يحرم لأنه لا يتنجس به ولو اتخذ مشطا من عظم الفيل فاستعمله في رأسه أو لحيته فإن كانت رطوبة من أحد الجانبين تنجس شعره وإلا فلا: ولكنه يكره ولا يحرم
Maksudnya: “Telah berkata ulama’ kami (ulama-ulama mazhab syafie): Makruh menggunakannya (gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis dan tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan ternajis dengan sebabnya. Kalau seorang membuat sikat rambut dengan tulang gajah dan menggunakan pada kepalanya atau janggutnya maka jika basah salah satu dari keduanya nescaya ternajislah rambutnya dan jika tidak basah salah satunya maka tidaklah ternajis akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram”.
(al Majmu’ Syarh al Muhazzab: 1/243)
Menerusi artikel tersebut, dapat disimpulkan bahawah tulang atau tanduk haiwan yang disembelih adalah suci dan halal untuk dijadikan perhiasan sekiranya haiwan tersebut adalah haiwan yang halal dimakan dagingnya disisi syarak.
"Bagi haiwan yang diambil tanduknya ketika hidup adalah tidak suci dan najis hukumya kerana ia dikategorikan sebagai bangkai.
"Haiwan yang haram dimakan selain daripada anjing dan babi hukumnya adalah makruh untuk mengambil dan menyimpan tulangnya sebagai perhiasan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram