DUA lelaki bertindak di luar kawalan dengan memukul seorang warga emas selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan di sebuah kawasan baru-baru ini.
Menerusi video dimuat naik di Twitter (X) @MohamadYusofBi6 pada Khamis, salah seorang daripadanya dilihat menumbuk pintu kereta sehingga mengenai warga emas itu sebelum kemudiannya seorang lagi datang dan bertindak sedemikian.
BACA LAGI: Tak puas hati kereta berlanggar, wanita tergamak pukul, cekik warga emas di Setapak
Dalam video itu, lelaki kedua itu dilihat keluar dari sebuah kereta pacuan empat roda (4x4) sambil dikerumuni beberapa orang awam yang berusaha menenangkan keadaan.
Apa nak jadi dgn manusia sekarang ni. Jgn lah terjadi begini kpd keluarga kita. Org tua ja pun. Dah nak jadi kemalangan. Adalah perikemanusiaan. pic.twitter.com/XRfYnRdmR3
— Mohamad Yusof Bin Yahya (@MohamadYusofBi6) January 11, 2024
Bonet depan kereta mangsa juga kelihatan rosak dan kemik dipercayai impak daripada pelanggaran ketika kemalangan berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, tindakan memandu dengan laju serta melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah van sekolah dipercayai menjadi punca seorang warga emas dipukul beberapa individu dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, lelaki berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan dipandunya sebelum didatangi beberapa individu yang bertindak memukul mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian perut, dahi dan badan.
"Siasatan mendapati dia dipukul dipercayai memandu kenderaan secara laju dan melanggar lampu isyarat merah sehingga merempuh van sekolah berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan dua individu di sekitar kawasan Kajang.
"Tangkapan dijalankan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang melibatkan dua lelaki tempatan berumur 26 dan 43 tahun yang terlibat dalam kes ini.
"Siasatan dijalankan mendapati dua individu yang diberkas mengaku memukul warga emas berkenaan disebabkan tidak berpuas hati tindakannya yang memandu dengan melulu sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram