[VIDEO] Konflik semakin memuncak, Rumah Putih pantau tentera Serbia di sempadan Kosovo


  • Benua
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Pertempuran senjata itu telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa baharu mengenai kestabilan di Kosovo. — Agensi

AMERIKA Syarikat sedang memantau penempatan tentera Serbia di sepanjang sempadan Kosovo.

Rumah Putih berpendapat penempatan tentera di sepanjang sempadan negara tersebut menjejaskan kestabilan kawasan berkenaan.

Justeru, Rumah Putih pada Jumaat menggesa agar ibu negeri Kosovo, Belgrade memanggil balik pasukan tenteranya.

Ketegangan antara dua negara itu memuncak selepas sekumpulan 30 lelaki warganegara Kosovo Serb masuk menguasai sebuah gereja di sebuah kampung di sempadan Serbia dan menyerang polis Kosovo.

Pihak berkuasa Kosovo berkata, suspek yang bersenjata berat menyerbu kampung di Banjska pada Ahad dan melepaskan tembakan ke arah polis menggunakan pelbagai senjata termasuk bom tangan dan peluru berpandu.

Dalam insiden itu, tiga suspek dan seorang pegawai polis terbunuh.

Pertempuran senjata itu telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa baharu mengenai kestabilan di Kosovo, yang mempunyai majoriti etnik Albania sebanyak 92 peratus dan hanya enam peratus warga Serbia.

Jurucakap Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby memberitahu wartawan bahawa pasukan pengaman akan meningkatkan kehadiran pasukan NATO di utara Kosovo akibat daripada ketegangan tersebut.

Kirby berkata, serangan itu bukan satu serangan rambang dan jumlah jenis senjata yang ditemukan memberi isyarat ancaman bukan sahaja kepada kakitangan Kosovo tetapi kakitangan antarabangsa, termasuk tentera NATO.

“Semua yang terlibat dalam serangan ini perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 2008 namun Serbia, bersama sekutunya China dan Rusia, tidak mengiktirafnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram