
SEBUAH pesawat Airbus A350 membawa lebih 300 penumpang meletup dan terbakar di Lapangan Terbang Haneda dekat Tokyo, Jepun pada Selasa.
Menerusi rakaman tular di media sosial sejak Selasa, pesawat Japan Airlines, JAL 516 itu diselubungi api marak ketika ia berada di landasan di Lapangan Terbang Haneda, di Ota City, Tokyo.
Baca Lagi: Penduduk cemas, menyorok selamatkan diri ketika gempa bumi 7.4 magnitud melanda Jepun
Pesawat itu dilaporkan bertembung dengan sebuah pesawat pengawal pantai ketika ia menuruni landasan sehingga menyebabkan kebakaran.
Ketika kejadian, pasukan bomba dikerahkan ke tempat kejadian serta-merta dan anggota bomba dilihat berusaha untuk cuba memadamkan api dengan beberapa hos.
Baca Lagi: Gempa bumi di Jepun, tiada rakyat Malaysia terjejas setakat ini — Wisma Putra
Laporan terbaharu menyebut, lima anak kapal penjaga pantai Jepun terbunuh akibat pelanggaran terbabit.
Pesawat penjaga pantai itu dikhabarkan dalam perjalanan membawa barang bantuan ke kawasan yang terkena gempa bumi di Niigata selepas siri gempa bumi melanda Jepun pada petang Isnin.
Tambah laporan itu, pesawat penjaga pantai itu baru tiba dari Lapangan Terbang Sapporo di pulau Hokkaido di utara Jepun.
Lapangan Terbang Haneda kini menutup semua landasan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram