[VIDEO] Penduduk cemas, menyorok selamatkan diri ketika gempa bumi 7.4 magnitud melanda Jepun


  • Benua
  • Isnin, 01 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan orang awam sedang menyorok ketika gempa bumi berlaku di Semenanjung Noto, Ishikawa, Jepun pada Isnin.

PENDUDUK berdepan detik-detik cemas apabila satu gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter melanda Jepun pada Isnin.

Gempa bumi itu dilaporkan berlaku di Semenanjung Noto, Ishikawa sekitar pukul 4.10 petang waktu tempatan (3.10 petang waktu Malaysia).

Ia sekali gus memberi amaran berlakunya tsunami dan menggesa orang ramai agar melindungi diri di kawasan tinggi.

Media antarabangsa melaporkan bahawa ancaman tsunami tersebut diramalkan berlaku di sepanjang pantai utara tengah Jepun kira-kira 300 kilometer dari kawasan gempa dan ombaknya boleh mencecah sehingga lima meter.

Menurut Badan Penyiaran jepun (NHK), semua penduduk diarahkan untuk meninggalkan kawasan-kawasan tepi pantai seperti Ishikawa, Niigata, Toyama dan Yamagata.

"Ombak setinggi lima meter diramal akan melanda kawasan Semenanjung Noto.

"Justeru, semua penduduk perlu berpindah segera ke kawasan tinggi," katanya.

Sementara itu, kejadian gempa bumi itu sempat dirakam dan tular di media sosial sejak Isnin.

Dalam video tersebut, kelihatan beberapa orang penduduk di kawasan itu segera menyelamatkan diri ketika gempa bumi berlaku.

Namun, setakat ini tiada kematian atau kecederaan dilaporkan selepas kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram