Hanya 10 menentang, 153 negara sokong gencatan senjata di Gaza dalam Perhimpunan Agung PBB


  • Benua
  • Rabu, 13 Dis 2023

Seramai 153 buah negara menyuarakan sokongan terhadap gencatan senjata di Gaza dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa. — Agensi

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa menyaksikan seramai 193 daripada ahlinya mengundi dan menyokong resolusi gencatan senjata kemanusiaan di Gaza.

Seramai 153 buah negara menyatakan sokongan, 23 berkecuali dan 10 negara termasuk Israel dan Amerika Syarikat yang menentang usul itu.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong draf resolusi berkenaan, ini menggambarkan kedudukan negara antarabangsa dalam menguatkuasakan resolusi tersebut," kata Duta Besar Arab Saudi, Abdulaziz Alwasil.

Undian itu dibuat selepas Israel menerima tentangan hebat daripada negara antarabangsa yang menggesa kekejaman tersebut dihentikan segera yang mana setakat ini telah mengakibatkan lebih 18,000 rakyat Palestin terbunuh.

Majoriti mangsa terkorban adalah golongan wanita dan kanak-kanak sekali gus menyebabkan lebih 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.

Serangan udara tanpa henti dan kawalan ketat dilakukan tentera Israel di Semenanjung Gaza telah mewujudkan situasi yang digelar sebagai 'neraka bumi' oleh pegawai PBB.

Malah, serangan itu juga telah menyekat akses penduduk kepada bahan makanan, tenaga elektrik dan sumber air.

Lebih 80 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tingal akibat serangan udara tentera Zionis. — Agensi

Dalam pada itu, perhimpunan yang dijalankan pada Selasa dilaksanakan susulan kegagalan resolusi gencatan senjata dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Jumaat lepas.

Amerika Syarikat lantang menyuarakan undian tidak setuju manakala United Kingdom pula berkecuali dalam perhimpunan tersebut.

Namun, selepas usaha resolusi itu gagal diteruskan pada UNSC, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengambil langkah luar biasa apabila menggunakan Artikel 99 Piagam PBB, yang membolehkan beliau mengeluarkan amaran tentang ancaman serius terhadap keamanan antarabangsa.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyokong kempen ketenteraan Israel dengan alasan ia mesti diluluskan bagi membongkar kejahatan Hamas.

Dalam kenyataannya pada Selasa, Biden berkata, Israel kehilangan sokongan antarabangsa ekoran pengeboman berterusan di Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram