Pencetus kebangkitan HM, tiba masanya 'Mat Cool' ambil alih, rampas posisi tengah dari bintang Selangor


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Prestasi Dion Cools (dua dari kiri) kian memuncak sejak menyarung jersi skuad Harimau Malaya bermula 2021. — Facebook/FAM

PEMAIN warisan negara, Dion Cools kini merupakan antara tonggak utama dimiliki skuad Harimau Malaya susulan aksi memukau yang dipamerkan dalam beberapa sisi perlawanan sebelum ini.

Turut tersenarai dalam skuad yang berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023, kelibat pemain pertahanan Buriram United itu sememangnya sudah sebati dengan corak permainan diterapkan jurulatih Kim Pan-gon apabila sering menjadi 'duri dalam daging' kepada pasukan lawan.

Ditambah pula dengan keserasian antara barisan pemain sedia ada, membuatkan pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu kekal selaku pilihan utama di posisi pertahanan kiri negara.

Dalam pada itu, penyokong pasukan negara rata-ratanya mula mencadangkan Dion Cools diletakkan di posisi pemain tengah bertahan bagi menguatkan lagi jentera serangan kebangsan.

Ia susulan aksi dan jaringan memukau dihasilkan pemain itu dalam perlawanan terdahulu yang menyaksikan kebolehannya sebagai peledak perlu diberikan perhatian.

cdbbc911ab92233013f21a1396829259

Dion Cools ketika menjaringkan gol dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur tahun lalu. — FAM

Tumpuan peminat kini terarah kepada perubahan posisi Dion Cools bagi menggantikan pemain Selangor FC, Brendan Gan yang kerap mendominasi jentera tengah negara ketika ini.

Berikut merupakan beberapa kelebihan dimiliki pemain itu yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh Kim Pan-gon.

1. Pakar 'assist'

Kekuatan utama dimiliki Dion Cools adalah menerusi hantaran serta kawalan bola kemas dimiliki yang banyak memberikan kelebihan kepada benteng pertahanan Malaysia.

Dia yang kerap bermain di posisi bek kiri cukup terkenal dengan larian deras serta perebutan bola di udara yang selalu dimenanginya meskipun bersaing dengan pemain yang lebih tinggi daripadanya.

Selain itu, Dion Cools bijak menghidu peluang apabila kerap menghantar bola ke dalam kawasan berbahaya dan kotak penalti lawan sebelum disudahi dengan jaringan rakan sepasukan.

Kerap membantu serangan pasukan dari tengah dan kiri padang, kelibatnya di atas padang akan terlihat sentiasa berlegar-legar di seluruh kawasan padang bagi membantu menghasilkan gol.

2. Ledakan padu

Selain hantaran tepat, kebolehan untuk meledak dan sepakan padu ke arah gawang turut berjaya dibuktikan menerusi jaringannya dalam aksi saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada Khamis.

Tampil mengganas dalam perlawanan itu, Dion Cools berjaya menyumbat masuk dua gol menerusi tandukan tepat yang menewaskan dua penjaga gawang lawan.

Jaringan Dion Cools dalam perlawanan menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selepas hampir dua tahun mewakili Malaysia, pemain itu sudah melakukan 18 penampilan dan namanya turut tercatat selaku penjaring dalam beberapa perlawanan meskipun bermain di posisi pertahanan.

Komited dalam membantu pasukan negara, kudratnya amat ditagih jurulatih untuk mengekang asakan lawan selain menjadi peledak 'simpanan' yang bersedia untuk menjaringkan gol pada bila-bila masa.

3. Kapten kebangsaan

Ketenangan dan sifat profesional dalam sukan bola sepak amat ditagih bagi individu yang dilantik sebagai ketua pasukan bagi sesebuah kelab bola sepak.

Kedua-duanya jelas dimiliki oleh Dion Cools yang sebelum ini turut beberapa kali pernah diberikan tanggungjawab untuk mengemudi pasukan Harimau Malaya.

Sikapnya yang sentiasa bertindak rasional dan kurang melakukan provokasi terhadap lawan menjadikan bekas pemain kebangsaan B-19 Belgium itu sesuai sekiranya diletakkan di posisi tengah selaku 'mesin' pasukan negara.

622CBB3F-3AFE-41AF-BECB-31E67C7AC4AA-700x467

Dion Cools kerap diberikan tanggungjawab selaku ketua pasukan kebangsaan.

Bijak mengawal tempoh permainan dan menyerap segala tekanan daripada penyokong di stadium mahupun serangan fizikal pasukan lawan, menjadikan namanya antara yang disebut sebagai pengganti Brendan Gan di posisi tersebut sekali gus menjadi kapten tetap pasukan Harimau Malaya.

Untuk rekod, prestasi Dion Cools di Liga Thailand tidak kurang hebatnya apabila berjaya membantu Buriram United meraih gelaran 'treble' pada musim ini selain turut kerap diturunkan dalam kesebelasan utama setiap perlawanan.

Selain memenangi trofi, dia juga tersenarai dalam kesebelasan terbaik Liga Thailand bersama Michael Falkesgaard (Bangkok United), Rebin Sulaka, Theerathon Bunmathan, Supachai Jaided, Suphanat Mueanta (Buriram United) dan Samuel Rosa (PT Prachuap). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram